RASHID memberi tunjuk ajar kepada Amar dan Amyra di lokasi.
RASHID memberi tunjuk ajar kepada Amar dan Amyra di lokasi.
RASHID bersama pelakon dan kru.
RASHID bersama pelakon dan kru.
Ridzuan Abdul Rahman


Biarpun dikenali sebagai pengarah berpengalaman dan menghasilkan pelbagai drama serta filem, Rashid Sibir tetap bekerja keras mengarahkan drama terbarunya, Jadikan Aku Yang Kedua yang menemui peminat menerusi saluran Astro Oasis mulai 3 April ini.

Apatah lagi naskhah diadaptasi daripada novel Siti Khadijah terbitan Karya Seni ini adalah karya ‘box office’ dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.

“Setiap naskhah yang bakal diarahkan mempunyai cabaran tersendiri buat saya. Kali ini saya bekerja dengan barisan pelakon yang dikenali ramai.

“Memandangkan ia daripada novel, saya perlu bina karakter supaya jangan lari daripada penceritaan sebenar agar pembaca dan penonton dapat apa diinginkan,” katanya.

Menerusi pengalaman luasnya, Rashid memikirkan cara untuk menyusun cerita supaya penonton tidak bosan.

“Saya kena wujudkan unsur ‘naik dan turun’ dalam penceritaan untuk menjadikannya lebih menarik. Dalam masa sama, mood artis kena dijaga supaya turutan emosi untuk episod terkawal.

“Saya tak berdepan masalah yang berat kerana sudah kenal dengan keupayaan semua pelakon, sekali gus memudahkan penggambaran,” katanya.

Drama bersiri ini membariskan pasangan pelakon suami isteri iaitu Amar Baharin, Amyra Rosli, Yana Samsudin, Kartina Aziz, Wilma Muhammad dan Harun Hashim.

Rashid turut memuji barisan pelakon dan kru terbabit yang memberikan komitmen terbaik sepanjang penggambaran berlangsung.

“Kerjasama yang ditunjukkan amat hebat. Amyra dan Yana menunjukkan kualiti lakonan yang bagus, manakala Amar pula semakin hebat dan matang dalam lakonan.

“Bahkan kerjasama yang diperlihatkan semua pelakon adalah 200 peratus. Bagi saya drama novel ini lebih berat berbanding drama novel yang biasa dihasilkan,” katanya.

Tidak keterlaluan Rashid melabelkan Amyra seperti jelmaan seniwati air mata Neng Yatimah kerana mudah menangis dalam lakonan.

“Secara peribadi saya anggap Amyra memang meletup. Begitu juga Amar yang berjaya membuktikan keberkesanan lakonannya dalam babak yang berat,” katanya.

Drama ini mengisahkan Taqif (Amar) yang kematian isteri, Wahi (Yana) dan mempunyai anak kembar bernama Dani serta Dania.

Ibunya, Mariam (Kartina) menyuruh Taqif berkahwin demi anak-anaknya. Ini membuatkan Taqif menerima Nuha (Amyra) bekas anak muridnya.

Nuha bekerja di kantin milik ibunya, Aminah (Wilma) dan memang rapat dengan pasangan kembar itu. Mereka berkahwin tetapi Taqif mahu Nuha menganggapnya sebagai abang sahaja kerana tidak dapat melupakan arwah isterinya.

Pelbagai konflik dilalui dan akhirnya Taqif dapat menerima Nuha tetapi cerita lain terjadi apabila kembar Wahi iaitu Wawa (Yana) pulang dan ibunya Latifah (Adibah Noor) pula mahu menjodohkan Wawa dengan Taqif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 5:03 AM