AMAR dan Amyra miliki kelebihan dan lakonan. FOTO/AMAR IG
AMAR dan Amyra miliki kelebihan dan lakonan. FOTO/AMAR IG
Rudy Imran Shamsudin


TIDAK dinafikan Amar Baharin dan Amyra Rosli dianggap pemerhati penggiat seni tempatan sebagai antara pasangan yang memiliki pesona untuk menarik umum menonton karya dihasilkan.

Tambahan pula pasangan suami isteri popular itu sering dijadikan contoh oleh peminat sebagai pasangan romantis dan bahagia.

Ramai yang mahukan Amar dan Amyra digabungkan dalam drama mahupun filem tetapi kenyataan diberikan sebelum ini yang mana mereka sebaik mungkin cuba mengelak agar tidak digandingkan bersama membuatkan kehendak penonton dan peminat tidak dapat dipenuhi

Kali terakhir mereka beraksi bersama dalam drama Jadikan Aku Yang Kedua dan selepas itu Amar mahupun Amyra menolak digandingkan.

Alasan diberikan Amar mahupun Amyra, mereka bimbang apabila digandingkan akan menimbulkan konflik dalam rumah tangga terutama membabitkan isu-isu sensitif.

Bagaimanapun, baru-baru ini sewaktu ditemui, pasangan itu mengakui tidak keberatan untuk menilai kembali tawaran yang mahu menggandingkan mereka berdua tetapi ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

Kata Amar, sebelum menerima tawaran itu, dia dan Amyra akan menilai skrip dan jalan cerita terlebih dahulu.

“Kami baru sahaja dapat tawaran menjayakan satu drama bersiri dan kami berminat tetapi meletakkan syarat produksi harus meneliti jalan cerita dan skrip agar ia tidak memudaratkan hubungan serta rumah tangga kami.

“Pihak penyiar dan penerbit bersetuju dengan syarat itu dan sekiranya jika tiada aral peminat dapat menyaksikan kami berlakon sama nanti,” katanya.

Kata Amar lagi, apabila pasangan suami isteri digandingkan banyak risiko menanti apatah lagi jika jalan cerita drama itu penuh konflik.

“Gambaran konflik yang dilakonkan pasangan suami isteri itulah yang mendatangkan bahaya dan boleh memudaratkan. Terutama membabitkan dialog.

Takut ada perkataan yang dilafazkan boleh mengakibatkan secara tidak langsung jatuh talak. Nanti tidak fasal, berlaku perceraian. Perkara seperti ini memang kami jaga dan seboleh mungkin mahu elakkan,” katanya.

Amar berkata dia dia kini lebih selesa menerima tawaran drama bersiri panjang seperti Jodoh Jodoh Anisa yang ditayangkan di Astro Prima.

Jodoh Jodoh Anisa yang memaparkan 100 episod turut dibintangi Izara Aishah, Datuk Aaron Aziz dan Shah Iskandar.

Kata Amar, membintangi drama episod panjang membuatkan urusan hariannya lebih mudah dan dia tidak perlu bimbang untuk memikirkan tawaran lain.

“Apabila membintangi drama bersiri yang panjang seperti Jodoh Jodoh Anisa, saya dapat bekerja dalam tempoh yang lama dan ada pendapatan secara tetap.

“Berlakon siri panjang pendapatannya adalah sama dengan saya membuat empat projek penggambaran drama,” katanya.

Jelas Amar lagi, Jodoh Jodoh Anisa adalah percubaan pertamanya menjayakan drama bersiri panjang dan jatuh cinta.

“Orang mungkin fikir apabila saya terbabit dengan siri panjang, saya tidak ada kehidupan lain dan hanya tumpu bekerja selama enam bulan. Bekerja tanpa henti keadaan juga akan jadi kelam-kabut.

“Hakikatnya, sepanjang menjayakan drama ini kerja jadi sangat tersusun. Lagipun, sebelum bersetuju terbabit dengan projek ini saya tengok dulu siapa pengarahnya. Rez sudah biasa mengarah drama panjang.

“Produksi yang menerbitkan drama ini juga sudah biasa menghasilkan drama panjang jadi mereka tahu bagaimana mahu menyusun jadual setiap artis yang terbabit,” katanya.

Amyra sendiri berasa senang apabila suaminya menerima tawaran untuk membintangi drama bersiri panjang sehingga 100 episod.

“Memang orang akan kasihankan saya kerana sunyi sebab suami sibuk berbulan-bulan di lokasi. Mereka fikir balik sahaja rumah Amar tidak ada masa hendak melayan saya dan anak.

“Sebenarnya, sepanjang Amar terbabit dengan projek ini dia ada banyak masa untuk dihabiskan bersama saya dan anak,” katanya.

Amyra juga menjelaskan dia berasa hairan apabila melihat Amar sering berada di rumah sehinggakan tertanya-tanya benarkah suaminya itu sebahagian daripada produksi Jodoh Jodoh Anisa.

“Bukan itu sahaja, Amar bawa kami sekeluarga bercuti dan sepanjang dia terbabit dengan penggambaran banyak aktiviti yang dapat kami lakukan bersama,” katanya.

Memberikan komen mengenai tawaran yang diterima untuk berlakon bersama Amar dalam drama bersiri, Amyra berkata dia ikut sahaja keputusan yang dibuat suaminya.

“Saya tidak ada masalah bekerja dengan suami. Bagi saya ia lebih menyenangkan kami. Namun, seperti yang dikatakan Amar, menjaga sensitiviti itu sangat penting kerana tidak mahu rumah tangga kami terjejas pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 6:00 AM