HELMI pengacara Famili Ceria.
HELMI pengacara Famili Ceria.
Norhayati Nordin


Kehadiran pengacara atau juruacara iaitu gelaran bagi orang yang mengendalikan persembahan acara seperti dalam sesuatu pertunjukan, majlis dan sebagainya boleh dikatakan memeriahkan suasana.

Selain penentu dan individu penting mencorak perjalanan acara terbabit. Tidak hairan mengapa bayaran mereka diletakkan pada kadar berpatutan dan mengikut pengalaman serta reputasi individu itu sendiri.

Bagi pengacara, pelakon dan penyanyi, Helmi Gimmick, 63, menyifatkan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 ditetapkannya sebagai pengacara tidak begitu mahal, namun setimpal dengan pengalaman dimilikinya.

Helmi atau nama sebenar, Helmi Harun berkata, dia meletakkan bayaran tertentu itu untuk khidmat pengacaraannya berikutan kemampuan diri mempunyai pelbagai teknik, termasuk penguasaan beberapa bahasa ketika mengendali program atau acara.

"Ada orang kata, bayaran saya tetapkan antara RM5,000 hingga RM6,000 adalah mahal. Tetapi, sebenarnya ia berpatutan untuk saya yang profesional bekerja, menghormati tuan rumah dan boleh bertutur dalam beberapa bahasa seperti bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Indonesia dan sedikit Perancis.

"Bukan berlakon saja kita kena kreatif untuk merealisasikan watak, dalam pengacaraan juga perlu kreatif dan cerdas berfikir. Sebab itu, saya akan pastikan setiap program atau acara diacarakan 'all out' supaya majlisnya meriah dan tetamu terhibur," katanya.

Terdahulu, Helmi yang juga bapa empat cahaya mata dan datuk kepada tiga cucu ditemui pada Malam Anugerah Apresiasi Hos Rasmi TikTok Live di Dewan Magika Winter, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, baru-baru ini.

Ditanya juga dirinya yang sudah lama tidak muncul di televisyen, Helmi berkata, dia rindu, tetapi tidak mendapat tawaran atau diundang melainkan tampil dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 pada sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Saya dah lama tak muncul di televisyen dan terkejut juga apabila TV3 panggil. Saya juga sempat bertanya kepada penerbit itu, betul ke nak jemput saya. Bagaimanapun, saya seronok dibawa berkunjung ke Rumah Orang-Orang Tua ketika itu.

"Banyak pengalaman bermakna yang saya dapat terutama keinsafan diri. Termasuk mengubat kerinduan terhadap ibu bapa saya yang sudah tiada, selain berkongsi kisah sedih penghuni di sana.

"Apa pun, paling menjadi pengajaran untuk saya ialah kita tidak tahu pengakhiran hidup ini bagaimana. Jadi, saya berdoa kepada Allah agar anak-anak tidak memperlakukan saya kurang baik dan semuanya berjalan lancar, Insya-Allah," katanya.

Mengulas juga dirinya yang mungkin dilabel sudah 'sendu', Helmi berkata, hingga kini rezekinya dalam bidang pengacaraan tidak putus kerana masih ada tawaran diterima, selain dia juga memiliki perniagaan produk makanan kesihatan yang dijalankan sejak sekian lama.

Sebelum ini, nama Helmi Gimmick pernah popular awal era 2000 dan antara program televisyen dihoskannya ialah Famili Ceria di ntv7, selain muncul dengan album solo, Tongkat Ali dan menjadi penyampai radio di Time Highway Radio (THR) atau kini dikenali Gegar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 6:45 AM