Melihat aksi Pak Nil pada Anugerah Academy, Nabil terdorong ikut jejak serupa.
Melihat aksi Pak Nil pada Anugerah Academy, Nabil terdorong ikut jejak serupa.
Ardini Sophia Sina

Bermula di pentas Raja Lawak musim kedua pada 2008, Nabil Ahmad, 34, kini membina nama sebagai pelawak, pelakon, pengacara dan penyampai radio popular.

Nyata gelaran juara membawa jejaka asal Mambau, Negeri SembilaN ini melangkah jauh dalam industri seni tanah air. Kerjaya seninya terus mencanak naik dan kekal hingga kini.

Sangat dikenali sebagai pengacara MeleTOP dan Gegar Vaganza, cintanya pada bidang pengacaraan bertambah selepas menjadi hos untuk HBO Sentral bermula dari musim kedua. Khidmatnya sebagai pengendali program televisyen itu dilanjutkan sehingga ke musim terbaru yang kini masuk tahun keempat.

Dia akui menjadi hos HBO Sentral bukanlah perkara mudah, apatah lagi ada beberapa skrip yang perlu diucapkan dalam bahasa Inggeris. Tuah berganda buat Nabil apabila berpeluang membuat liputan acara karpet merah Anugerah Academy ke-89 di Los Angeles pada Februari lalu.

Kata Nabil, melihat idolanya dalam bidang pengacaraan, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil yang berpeluang menghadiri acara karpet merah di Anugerah Academy, membuatkan semangatnya terus berkobar-kobar.

Nabil akui selepas bergelar pengacara, Pak Nil menjadi figura yang perlu dicontohi. Setiap kali ada peluang berjumpa dengannya, Nabil pasti bertanya tip dan nasihat untuk terus bertahan sebagai pengacara.

“Saya sentiasa memerhati cara dia mengendalikan sesebuah program mahupun situasi. Tidak semua perkara yang kita rancang berjalan dengan lancar.

“Bagi saya, Pak Nil orang yang boleh bertindak secara spontan sesuai dengan situasi pada ketika itu. Tidak semua pengacara berkebolehan melakukan perkara yang sama.

“Kalau mahu berjaya sebagai hos, saya harus ada kebolehan seperti itu. Saya bertambah bangga dan tabik pada Pak Nil apabila melihat dia berpeluang berjumpa dan menemuramah beberapa pelakon terkenal di karpet merah Anugerah Academy,” katanya.

Kata Nabil, dia terkesima dan kelu untuk berkata-kata kerana terlalu kagum dengan pengalaman yang dilalui Pak Nil. Dia kemudian menyimpan hasrat untuk mengikut langkah Pak Nil menjejakkan kaki ke acara gemilang itu.

Nabil akui kejayaan Pak Nil mencabar semangatnya dan bukan setakat memasang impian, sebaliknya berusaha memperbaiki tahap penguasaan bahasa Inggeris.

Pernah mengikuti kelas bahasa Inggeris, Nabil cuba menggunakan bahasa itu untuk berkomunikasi dengan isteri, Nazira Ayoub dan dua anak perempuannya.

“Apabila saya menyematkan azam untuk ke Anugerah Academy seperti Pak Nil, saya sedar harus berbahasa Inggeris dengan baik. Saya masuk kelas dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan di rumah. Azam memperbaiki bahasa Inggeris bukan hanya kerana keinginan untuk menemubual artis antarabangsa, juga kerana saya juga hos HBO Sentral,” katanya.

Kata Nabil, dia kini mampu berbahasa Inggeris dengan baik dan cuba menaik taraf komedinya dalam bahasa Inggeris agar boleh memperluaskan lagi kerjayanya sebagai pelawak.

“Kalau dalam bidang komedi, saya menjadikan Harith Iskander sebagai mentor. Saya tumpang bangga dengan kejayaannya menang pertandingan Funniest Person In The World 2016.

“Saya gembira apabila Harith mengundang saya beraksi untuk slot komedi berbahasa Inggeris. Ada beberapa pelawak stand-up yang buat persembahan di sekitar Kuala Lumpur dan ada dua slot iaitu bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.

Kata Nabil , Harith sarankan agar dia mula menulis ‘sketch’ untuk lawak dalam bahasa Inggeris dan turut membuat persembahan untuk slot bahasa itu. Bagaimanapun, katanya, dia belum yakin dengan diri sendiri.

“Orang beli tiket untuk bergelak ketawa. Kalau tiba giliran saya dan lawak yang saya sampaikan tidak kelakar, nanti apa pula orang kata,” katanya.

Apapun, Nabil masih menyimpan angan-angan untuk tampil membuat persembahan komedi dalam bahasa Inggeris seterusnya menyertai pertandingan lawak peringkat dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 8:07 AM