ISSEY minta tidak dibandingkan dengan pengacara Mentor sebelum ini.
ISSEY minta tidak dibandingkan dengan pengacara Mentor sebelum ini.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Pertama kali mengemudi program Mentor Milenia secara langsung ternyata menguji kemampuan pengacara dan pelawak, Issey Fazlisham.

Issey, 29, berkata dia dan rakan gandingan, Marsha Milan Londoh perlukan sedikit masa untuk memperbaiki ke­lemahan mereka mengendalikan program itu yang mula bersiaran pada Ahad lalu.

“Bagi saya tanggung­jawab ini sangat berat. Namun, saya ambil ia sebagai satu cabaran untuk memajukan karier sebagai pengacara.

“Jika lihat semula program minggu lalu, nampak agak kelam-kabut. Banyak lagi yang perlu diperbaiki,” katanya.

Issey turut memohon penonton memberikannya peluang dan tidak membandingkannya dengan pengacara terdahulu.

“Mungkin penonton sudah terbiasa dengan gaya pengacaraan Awal Ashaari yang mengendalikan program Mentor sebelum ini. Saya akui, dia memang contoh terbaik dalam bidang pengacaraan.

“Kalau boleh, berilah saya peluang untuk buktikan kemampuan diri dan tidak membandingkan saya dengan Awal,” katanya.

Ditanya mengenai gandingan bersama Marsha, Issey berkata mereka perlu berbincang bagi memantapkan lagi gaya penyampaian.

“Perbincangan itu penting. Mungkin untuk minggu pertama ini, kami masih kaku, tetapi Insya-Allah selepas ini akan lakukan yang terbaik.

“Marsha sendiri mengaku penguasaan Bahasa Melayunya kurang memuaskan. Jadi kami akan membantu antara satu sama lain,” katanya.

Tambah Issey, tidak adil sekiranya orang ramai membandingkan mereka dengan gandingan serasi Nabil dan Jihan dalam program Gegar Vaganza.

“Diakui mereka memang bagus. Mereka banyak mengacarakan program besar, jadi tidak adil sekiranya dibandingkan dengan kami.

“Setiap orang ada kelebihan dan kelemahan. Seperti yang saya katakan tadi, berikan sikit masa dan kami akan perbaiki segala kelemahan,” katanya.

Issey yang pernah me­ngacarakan beberapa program rakaman antaranya Sarapan dan Bang Bang Boom di TV3 mengakui masih ramai belum mengenalinya sebagai pengacara.

“Ramai belum kenal saya dan ada juga yang masih tidak dapat terima kehadiran saya.

“Biasanya jika tidak dikenali, potensi untuk dikritik dan dihentam pun tinggi. Jadi saya kenalah buat yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 12:23 PM