Helmi Gimmick
Helmi Gimmick
Norhayati Nordin


Putrajaya : Pengacara, pelakon dan penyanyi, Helmi Gimmick, 63, sangat menjaga kesihatan dirinya dan sudah lebih 25 tahun tidak minum air bergula kerana menyifatkan lebih penting 'mencegah dahulu sebelum kena'.

Helmi atau nama sebenarnya, Helmi Harun berkata, sama ada lelaki atau pun wanita yang sudah meningkat usia 'emas' sangat penting menjaga kesihatan diri dalam pemakanan harian serta pengambilan 'supplement' (makanan tambahan).

"Saya ini sangat jaga kesihatan. Pertama, saya tak minum air bergula, tak pernah. Dah lebih 25 tahun, saya tidak ambil (minum) air bergula.

"Sebagai penceramah dalam penjagaan kesihatan untuk produk kesihatan yang dikeluarkan oleh syarikat saya, mana mungkin nak mempromosikannya (produk) kalau saya sendiri pun tak nampak sihat.

"Orang akan pertikai, wayang, kau cakap saja lebih. Sebab itu, saya kena jaga makan minum, jaga perwatakan diri saya supaya nampak cergas," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Helmi, dia sedaya mungkin menggunakan 'jenama selebriti' yang ada pada dirinya untuk aktif dalam perniagaan sebagai jaminan masa depan dalam menstabilkan pendapatan walaupun masih lagi menerima tawaran pengacaraan.

"Sebagai selebriti, tak payah tunggu sampai nama popular, baharu nak mula berniaga. Saya sendiri sudah berniaga produk kesihatan dan ada syarikat sendiri lebih 20 tahun lalu, tak pernah berhenti.

"Tujuannya, saya fikir untuk diri sendiri nak sihat dan kena berusaha ke arah itu (jaga kesihatan), selain terus berdoa kepada Allah untuk sihat. Nikmat kesihatan yang Allah beri pada kita ini 'mahal'," katanya.

Menurut bapa empat cahaya mata dan datuk kepada tiga cucu ini, dia menyarankan agar jagalah kesihatan diri selalu tanpa memikirkan usia masih muda atau sudah warga emas kerana penyakit datang tanpa kita duga.

"Kalau sudah sakit, baharu nak jaga kesihatan diri, sedihlah. Hargai nikmat kesihatan yang Allah beri itu, sebab apabila dah sakit, ada duit banyak pun, tiada guna. Jadi, utamakan penjagaan kesihatan," kata Helmi yang boleh bertutur dalam beberapa bahasa seperti bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Indonesia dan sedikit Perancis.

Sebelum ini, nama Helmi Gimmick pernah popular awal era 2000 dan antara program televisyen dihoskannya ialah Famili Ceria di ntv7, selain muncul dengan album solo, Tongkat Ali dan menjadi penyampai radio di Time Highway Radio (THR) atau kini dikenali Gegar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 5:46 PM