ERRA Fazira sifatkan tidak timbul isu hos lebih menonjol atau ‘mencaras’ pasangan pengacara.
ERRA Fazira sifatkan tidak timbul isu hos lebih menonjol atau ‘mencaras’ pasangan pengacara.
Ramlah Zainal

Erra Fazira, 50, menyifatkan tidak sepatutnya timbul isu seorang hos lebih menonjol atau mahu 'mencaras' pengacara lain dalam sesebuah program dikendalikan.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek berkata, jika program itu menampilkan dua hos, kedua-duanya juga perlu mengendalikan program itu dengan seimbang.

"Kalau program itu menampilkan gandingan dua hos, kedua-dua mereka perlu bersama-sama dan sepakat untuk mengendalikan program itu barulah 'flow' (perjalanan) program itu lancar.

"Saya juga akan berasa tak seronok atau selesa kalau hos yang digandingkan dengan saya itu mahu tunjuk pandai (bagus) dan sebagainya," katanya yang kini sebagai pengacara program bual bicara popular, Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di TV9.

Bercakap mengenai NLKO yang menampilkan 10 hos, Erra berkata, setiap pengacara ada kelebihan masing-masing.

Katanya, sebagai artis yang berpengalaman dan sudah lama dalam industri seni, dia juga perlu membantu hos baru dalam program NLK0 bila bersiaran di kaca televisyen.

"Saya sudah lama terbabit dalam industri seni tetapi bukan sebagai pengacara. Kalau saya berganding dengan hos baru dan dia berasa janggal, saya perlu membantunya dan buat dia berasa selesa.

"Kalau saya berasa 'terlebih' dan tenggelamkan hos lain, saya akan 'tone down' sikit ," katanya yang pernah mengacarakan program Wanita Hari Ini dan Primadona.

Menurut Erra, pengacara generasi baharu juga barisan pelapis dalam bidang pengacaraan.

"Saya pun nak belajar bahasa yang betul dengan mereka (hos baru) ketika bersiaran secara langsung di TV. Kadang-kadang, kita selalu guna bahasa pasar saja, tapi hos baharu dalam kalangan pembaca berita atau Deejay radio, bahasa mereka lebih baik dan sesuai untuk bersiaran di kaca TV," katanya.

NLKO kembali menemui penonton setianya di stesen TV9 bermula 17 Januari lalu.

Selain Erra, sembilan lagi hos yang ditampilkan dalam NLKO membabitkan barisan selebriti antaranya Fizo Omar, Heliza Helmi dan Fakhrul Radhi.

Ia dilengkapkan dengan penampilan personaliti TV dan wajah baharu seperti Barr Zaizan, Affizza Azmi, Saree Abdullah, Irfan Ali, Syamira Nazir dan Qila Shahirah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 6:30 AM