Datuk Red
Datuk Red
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Datuk Red bersyukur apabila ditawarkan pekerjaan sebagai model baju Melayu di sebuah gedung pakaian terkemuka, di sini.

Perkongsian itu dimuatnaik Datuk Red di TikTok menerusi keterangan di beberapa hantaran video di mana dia menjadi model dan mempromosikan jenama gedung pakaian terkemuka itu.

"Bismillah. Terima kasih kerana beli peluang dan beri kerja yang tidak disangka-sangka.

"Maaf, saya pertama kali jadi model. Terima kasih berkongsi rezeki dengan saya yang tidak seberapa ini," tulisnya.

Datuk Red yang juga suami kepada penyanyi, Adira Suhaimi turut menerima sumbangan baju sempena Aidilfitri bukan saja buat dirinya, tetapi juga keluarga.

"Terima kasih kerana sudi beri sumbangan dan juga menaja baju raya buat saya sekeluarga. Syukur tak terkata," tulisnya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Datuk Red untuk mendapatkan reaksinya berkaitan tawaran kerja yang diterimanya tidak berjaya.

Terdahulu, Datuk Red mendedahkan mengenai kehidupannya yang berdepan kesukaran selepas diisytiharkan muflis sejak 2019 dan terpaksa menanggung beban hutang mencecah RM5 juta.

Akibat kehidupan yang terdesak, dia berusaha mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan dan keperluan anak-anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 12:28 PM