LEE Zii Jia. FOTO ASWADI ALIAS
LEE Zii Jia. FOTO ASWADI ALIAS
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dijangka mudah ke pusingan seterusnya sekali gus membuka ruang lebih cerah dalam memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik selepas diundi dalam Kumpulan G.

Majlis undian yang diadakan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di ibu pejabat badan induk dunia, di sini, hari ini menyaksikan Zii Jia tidak berdepan masalah besar apabila diundi bersama pemain dari Sri Lanka, Viren Nettasinghe dan pemain dari Sepanyol, Pablo Arbian.

Di atas kertas, pemain kelahiran Kedah itu sepatutnya mampu untuk mencatat kemenangan bersih ke atas lawannya.

Untuk rekod, Zii Jia berada di ranking ke tujuh dunia sementara Nettasinghe berada di ranking ke-72 dunia manakala Abian ke-63 dunia.

Bagi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dilihat mempunyai peluang cukup baik untuk ke pusingan seterusnya selepas diundi dalam Kumpulan D bersama pasangan ranking kedua dunia dari China, Feng Yanzhe-Huang Dongping.

Turut berada dalam kumpulan berkenaan adalah beregu dari Amerika Syarikat (AS), Vinson Chiu-Jennie Gai dan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura.

Secara realistik, pasangan negara itu dijangka akan mengiringi beregu China ke pusingan seterusnya.

Bagi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah diundi dalam kumpulan maut apabila berada dalam Kumpulan A bersama pemenang pingat perak di Tokyo 2020 dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan dan gandingan berpengalaman Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Turut berada dalam kumpulan berkenaan adalah beregu Jepun yang di ranking keenam dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.

Manakala pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei diundi dalam Kumpulan H bersama pilihan ke-12 kejohanan dari Korea Selantan, Kim Ga Eun dan wakil Afrika Selatan, Johanita Scholtz.

Untuk makluman, undian bagi beregu lelaki begitupun tidak diadakan pada hari ini apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memaklumkan yang ia akan dianjurkan pada satu tarikh yang bakal ditentukan susulan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Acara beregu campuran akan membuka tirai aksi pada pagi 27 Julai seterusnya menjadi acara pertama berlangsung di gelanggang Porte de la Chapelle Arena dengan menawarkan pingat emas pada 2 Ogos, diikuti beregu wanita (3 Ogos), beregu lelaki (4 Ogos) dan perseorangan lelaki serta wanita pada (5 Ogos).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 7:21 PM