Mohd Firdaus Ahmad,48, diiringi pegawai KPDN Melaka untuk membayar denda. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Mohd Firdaus Ahmad,48, diiringi pegawai KPDN Melaka untuk membayar denda. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang pengarah dan syarikat pengurusan haji dan umrah didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah gagal mematuhi award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar balik tuntutan wang berjumlah RM24,877 kepada sepasang suami isteri.

Hukuman diputuskan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap Mohd Firdaus Ahmad,48, selaku orang kena saman (OKS) dan Syarikat Persada Oasis Travel & Tours Sdn Bhd.

Mengikut pertuduhan, Mohd Firdaus sebagai pengarah dan syarikat Persada Oasis Travel & Tours Sdn, Bhd didapati gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bertarikh 18 Mei 2023 yang memerintahkannya supaya membayar RM24,877 kepada Zulaikha Mohd Rashid dan Mohamad Fahmy Jamil, masing-masing berusia 37 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2 Julai 2023, di Pejabat TTPM Cawangan Melaka, Aras 6, Wisma Persekutuan, Jalan MITC, Ayer Keroh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, bahagian penguat kuasa, Kementerian Perdagangan Dalan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Melaka menerima aduan pada 22 Jun 2023 berhubung kegagalan syarikat terbabit untuk mematuhi keputusan Award Borang 9 (Award Dengan Persetujuan) yang dikeluarkan oleh Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia iaitu membayar RM24,877 kepada pihak penuntut dalam tempoh 30 hari dari tarikh award.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa KPDN Melaka, Muhammad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri dan Norhysham Md Noor, sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Dalam rayuannya, OKS menyatakan dia sudah membuat sebahagian penyelesaian bayaran kepada penuntut dan memohon hukuman ringan.

Katanya, dia rakan kongsi dalam syarikat terbabit yang sudah 18 bulan tidak beroperasi selain mempunyai tanggungan keluarga termasuk anak orang kurang upaya (OKU).

Namun, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan memberikan hukuman berbentuk pengajaran kepada OKS dan pengusaha syarikat pengurusan haji dan umrah untuk tidak mengulangi kesalahan itu.

"Penipuan umrah bukan lagi kes yang jarang kita dengar malah ia menjadi 'barah' kepada masyarakat dan jika dibiarkan akan membangkitkan rasa ketakutan dalam masyarakat untuk mengerjakan ibadah kerana bimbang ditipu oleh pengusaha di luar sana.

"Kes seperti ini secara tidak langsung memberi suatu gambaran dan harapan palsu kepada mangsa yang terbabit, segala janji manis ditaburkan kepada mangsa seolah-olah tiada langsung perasaan empati dalam diri OKS.

"Kos dikeluarkan untuk mengerjakan ibadah umrah bukanlah sedikit namun usaha menyimpan dan menabung wang simpanan bulanan lesap begitu sahaja akibat kerakusan pihak yang mengambil kesempatan di atas kelemahan mangsa yang terbabit," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 terhadap tertuduh atau tujuh hari penjara jika gagal bayar manakala syarikat (RM3,500) atau dikeluarkan waran levi jika ingkar.

Sementara itu, di mahkamah sama, OKS dan syarikat itu turut didakwa dan minta dibicarakan atas lapan pertuduhan gagal mematuhi award TTPM Melaka untuk membayar tuntutan berjumlah RM111,767 kepada empat penuntut lain bagi tempoh 12 April 2023 hingga 18 Mei 2023.

Semua kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 7:05 PM