AZEEM bakal beraksi kali pertama di pentas Olimpik Paris. FOTO HAZREEN MOHAMAD
AZEEM bakal beraksi kali pertama di pentas Olimpik Paris. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kepakaran Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) kini diperlukan untuk cuba melakukan 'keajaiban' bagi membantu atlet Malaysia yang akan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berkata, dia akan bekerjasama dengan ISN dan MSN sebaik mungkin untuk menghadirkan sesuatu kejayaan menjelang temasya terbesar dunia itu nanti.

Jelasnya, perkara itu amat penting bagi memastikan segala persiapannya berjalan lancar sambil cuba mendapatkan teknik tambahan dan bantuan peralatan terbaik sebagai senjata rahsia terakhir di Paris.

"Saya akan terus mengemas kini dengan ISN agar badan saya berada dalam kondisi terbaik kerana ini akan berkaitan dengan prestasi saya.

"Malah mereka juga akan membantu saya dalam menganalisis biomekanik, analisis prestasi dan cuba melihat bahagian mana harus di tambah baik demi meningkatkan prestasi larian saya," katanya.

Jelas atlet kelahiran Perak itu, dirinya menyedari dengan masa yang ada agak suntuk, dia tidak boleh melakukan banyak perubahan drastik kerana itu sedikit sebanyak juga boleh menganggu prestasi semasanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan walaupun bakal bersaing dengan jagoan pecut dunia, Muhammad Azeem Fahmi tidak perlu terlampau menghormati lawannya apabila membuat penampilan sulung dalam acara 100 meter (m) di Sukan Olimpik.

Katanya, pengalaman berlari di Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Hangzhou tahun lalu membuatkan dia tidak berasa gentar untuk bersaing dengan jaguh pecut dunia yang lain di temasya terbesar dunia itu.

"Saya sudah berlari di Kejohanan Dunia (Hungary), Sukan Asia (Hangzhou)...saya berlari dengan antara pelari pecut terpantas dunia. Bagi saya, pada tahap ini, semuanya ada peluang sama rata," kata Azeem.

Di Olimpik Paris nanti, Azeem berpeluang berlari dengan juara bertahan dari Itali, Marcell Jacobs dan bintang sensasi AS yang juga juara dunia, Noah Lyles.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 7:36 PM