Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Saya sudah bersedia dengan semua kemungkinan selepas diberitahu doktor sejak semalam.

"Pergilah adik... pergi bermain dengan abang (Muhammad Akil Syauqi) di syurga."

Begitu kata Nurain Hasnorizal, 25, ibu kepada kanak-kanak malang yang meninggal dunia akibat termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus.

Muhammad Luth Syauqi, dua tahun, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini pada jam 1.24 tengahari selepas abangnya Muhammad Akil Syauqi, 3 tahun meninggal dunia dua hari lalu.

Nurain berkata, semalam, doktor sudah memaklumkan bahawa mereka tidak meletakkan harapan terhadap Muhammad Luth berikutan tiada tindak balas.

Katanya, ketika itu dia reda dengan ketentuan-Nya dan berharap semoga anak bongsunya 'pergi' dengan mudah.

"Ahli keluarga juga dibenar melawat Luth sejak semalam bagi melihatnya buat kali terakhir dan seperti arwah Akil, saya juga diberi peluang bersama Luth.

"Berulang kali saya menyapu air mata yang mengalir di pipi Luth, ketika itu saya membayangkan saat mereka bermain-main di rumah.

"Semasa hayat mereka gemar bergurau dan saya bayangkan Akil sedang tarik tangan Luth ke syurga.

"Ujian ini saya terima dengan reda dan berharap akan jadi pengajaran kepada orang lain," katanya ketika ditemui di sini.

Mengulas lanjut Nurain berkata, jenazah Luth dijangka disemadi berhampiran pusara abangnya di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kedah sejurus selesai urusan bedah siasat hari ini.

"Mereka harta saya di dunia, tiada apa yang dapat menggantikan mereka.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi sokongan, hanya Allah SWT yang membalasnya," katanya lagi.

Turut sama di perkarangan hospital ialah ahli keluarga termasuk bapa dan ibu bapa mentua Nurain.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mengenai dua beradik, Muhammad Luth Syauqi dan Muhammad Akil Syauqi yang masing-masing berusia dua dan tiga tahun, kritikal selepas termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah, Ahad lalu.

Kedua-dua kanak-kanak malang berkenaan dikejar ke HPP selepas menerima rawatan di Hospital Kulim.

Nenek sebak hilang Luth selang dua hari Akil 'pergi'

'Separuh jiwa sudah pergi, perlu kuat demi Adik' - Nurain

Lima individu diambil keterangan bantu siasatan kes keropok beracun

JKM santuni keluarga kanak-kanak termakan makanan ringan mengandungi racun tikus

Guna racun tangani masalah monyet rosakkan kebun perkara 'biasa' - Penduduk

Keropok beracun: Lelaki direman 6 hari

Pekebun sudah serah diri, dakwa keropok beracun diikat tinggi

Arwah Akil manja, tidak banyak meragam - Bekas pengasuh

Peket kecil disyaki racun tikus ditemui di kawasan rumah pemilik kebun

Tragedi keropok racun, penduduk akan lebih berhati-hati

Akil Syauqi hembus nafas terakhir selepas ibu bisik reda dia pergi

Muhammad Akil Syauqi termakan keropok beracun meninggal dunia

Keropok beracun: Rindu keletah, tidak sanggup tengok anak sakit - Ibu

Ancaman haiwan liar dorong penduduk buat perangkap sendiri

Nenek kesal pemilik kebun gantung makanan beracun tepi pagar, mudah dicapai

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 5:52 PM