FOTO hiasan. FOTO FAIL REUTERS
FOTO hiasan. FOTO FAIL REUTERS
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi peraturan larangan berkaitan penjualan semua produk merokok termasuk menerusi kaedah mesin layan diri (vending machine).

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan peraturan berkaitan larangan penjualan produk merokok itu akan dikuatkuasakan bersama Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), setelah diluluskan kelak.

"KKM turut memandang serius isu berkaitan aduan penjualan rokok elektronik atau vape menerusi mesin layan diri sebagaimana tular di Aplikasi X pada Rabu lalu.

"Larangan penjualan rokok elektronik melalui mesin layan diri ini juga kesinambungan daripada larangan penjualan hasil tembakau seperti rokok, cerut dan tembakau lerai melalui mesin layan diri di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281)," katanya.

Menurut kenyataan itu, susulan penularan isu penjualan vape menerusi mesin layan diri pihak KKM telah turun dan bertemu dengan pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit bagi menerangkan tentang larangan penjualan menerusi mesin layan diri tersebut.

"Pihak KKM turut menyarankan pihak pengurusan menutup operasi mesin layan diri tersebut serta merta sebagai tanggungjawab sosial dan mereka bersetuju serta akur dengan saranan tersebut," katanya.

Menurut kenyataan itu, sebagai persediaan ke arah penguatkuasaan Akta 852 bersama peraturan dan perintah di bawahnya KKM telah mengadakan Siri Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 kepada semua pegawai penguat kuasa KKM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bermula 9 Jun lalu.

"Ini bagi memaklumkan tentang larangan yang terdapat dalam akta berkenaan dan peraturan di bawahnya termasuk larangan penjualan produk merokok melalui mesin layan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 6:14 PM