NASRULLAH Hanif Johan tuntut rakan beraksi habis-habisan bertemu Sri Pahang, esok. FOTO IHSAN NSFC
NASRULLAH Hanif Johan tuntut rakan beraksi habis-habisan bertemu Sri Pahang, esok. FOTO IHSAN NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) berharap kekecewaan yang dialami dalam tiga aksi liga sebelum ini dapat diubati dengan meraih keputusan positif ketika turun menentang Sri Pahang FC (SFC) dalam pertembungan Liga Super, di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, esok.

Pemain pasukan itu bertekad untuk berjuang habis-habisan bagi mendapatkan kemenangan sekali gus memulihkan reputasi skuad Hobin Jang Hobin selepas kecundang dalam kesemua tiga aksi liga sebelum ini.

Kapten pasukan, Nasrullah Hanif Johan akui betapa dia dan rakan sepasukan perlu menggandakan usaha andai mahu memastikan kutipan tiga mata sekali gus kemenangan pertama musim ini dapat diraih di tempat lawan, esok.

"Saya akui seluruh pasukan perlu berusaha dengan lebih baik lagi bagi mendapatkan tiga mata dalam pertembungan dengan Sri Pahang, esok.

"Meskipun sedar tugas itu bukan mudah ketika Sri Pahang hampir pasti mahu menggunakan kelebihan untuk mendapatkan kemenangan, tapi kami tiada alasan kecuali turun habis-habisan.

"Kami perlu berusaha mendapatkan kemenangan untuk memulihkan semangat dan keyakinan pasukan walaupun beraksi di tempat lawan," katanya hari ini.

Tonggak pertahanan berpengalaman itu akui tidak rela pasukannya pulang dengan tangan kosong selepas keputusan dicapai dalam tiga aksi liga sebelum ini menghampakan.

Justeru itu, Nasrullah berharap rakan-rakannya yang akan diturunkan pada perlawanan itu dapat bersama membina kekuatan baharu bagi menghadapi cabaran anak buah Fandi Ahmad.

Menurutnya, kehilangan sebarang mata pada pertembungan itu nanti sudah tentu akan memberi kesan yang lebih buruk kepada pasukan untuk mengharungi liga musim ini.

"Namun begitu, saya yakin dan percaya semua pemain sedar tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan dalam usaha mengembirakan penyokong selain demi mengembalikan semula reputasi dan maruah pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 6:11 PM