Yabang dan Ayie Lantara
Yabang dan Ayie Lantara

Serdang: Bait-bait lirik lagu berjudul Segalanya Felda mempunyai makna mendalam dan menarik perhatian pendengar.

Malah irama rancak dinyanyikan Yabang dan Ayie Lantara membuatkan peminat muzik terpesona serta tertanya-tanya mengenai lagu yang diinspirasikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek.

Lagu Segalanya Felda ciptaan Yabang Khalifah mengisahkan pengorbanan Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein, yang juga pengasas Felda.

Majlis pelancaran lagu berkenaan disempurnakan oleh Ahmad Shabery sendiri di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini, Rabu lalu.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Komunikasi Strategik Felda, Naziffuddin Taijulddin berkata lagu Segalanya Felda diilhamkan Datuk Sri Ahmad Shabery mempunyai mesej mendalam dan membangkitkan inspirasi kepada masyarakat khususnya warga peneroka.

"Lagu (Segalanya Felda) mengisahkan pengorbanan seorang ayah (Tun Razak) bagaimana daripada kehidupan susah peneroka sehingga berjaya.

"Lirik dan lagu ini dihasilkan sepenuhnya oleh Yabang dan dinyanyikan cukup bersemangat oleh Ayie dan Yabang sendiri selain disokong oleh koir Felda sempena pelancarannya.

"Memang kita tahu suara Yabang cukup sinonim dengan irama rock dan beliau menyanyi dengan penuh semangat," katanya.

Naziffuddin berkata lagu berkenaan mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk dihasilkan oleh Yabang.

"Sememangnya lagu ini mencetus semangat kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya," kata Naziffuddin yang menyifatkan pelancarannya bertepatan dengan sambutan Hari Peneroka Felda (HPF) 2024 yang berlangsung tiga hari di Maeps bermula Jumaat.

Tambahnya, pelbagai aktiviti, pameran serta acara menarik diadakan sepanjang sambutan itu.

Sambutan HPF yang julung kali diadakan tiga hari pada tahun ini, menyasarkan kehadiran 500,000 warga peneroka Felda, generasi baharu Felda serta orang ramai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan acara itu pada 14 Julai.

Hari Peneroka jatuh pada 7 Julai setiap tahun dan ia ditetapkan oleh Tun Abdul Razak yang juga pengasas Felda.

Tarikh keramat itu adalah hari penghormatan buat peneroka Felda yang menyumbang kepada pembangunan negara hampir 70 tahun lamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 6:16 PM