Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Selepas menjadi model baju Melayu untuk gedung pakaian terkemuka, Datuk Red ditawarkan pula pekerjaan oleh jenama kambing perap popular, di sini.

Menerusi perkongsian di TikTok, Datuk Red atau nama sebenarnya, Datuk Seri Adnan Abu berkata, dia bersyukur apabila ditawarkan peluang pekerjaan oleh jenama popular terbabit bagi menambah pendapatannya.

"Alhamdulillah dan terima kasih atas peluang yang diberikan jenama terbabit. Satu lagi syarikat kebanggaan bumiputera. Dia orang dah bantu beribu ekonomi rakyat Malaysia," tulisnya.

Dalam hantaran itu, Datuk Red yang juga suami kepada penyanyi, Adira Suhaimi juga memuat naik video dia dibawa ke ke lokasi perniagaan dan tempat jenama terbabit menyimpan stok kambing perap mereka.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian di TikTok, pihak jenama kambing perap popular berkenaan juga memberitahu itu adalah permulaan Datuk Red bekerjasama dengan mereka.

Pihak mereka juga berharap orang ramai turut mendoakan yang terbaik buat Datuk Red kerana dia sedang berusaha mendapatkan pekerjaan selepas hampir lima tahun diisytihar muflis.

Di ruangan komen, ramai netizen memberi maklum balas mengatakan tindakan Datuk Red mengakui kesilapan dan merendahkan diri nampaknya mendapat pulangan yang bagus apabila ramai pihak yang mula menawarkan pekerjaan kepadanya.

"Bila Datuk mengaku kesilapan dan merendahkan diri serta berserah segalanya kepada Allah S.W.T, Dia yang maha kaya memberikan rezeki untuk menguji kesyukuran datuk selepas ini," tulis netizen.

"Allah jatuhkan kita sehina-hinanya untuk menaikkan darjat kita. Percayalah, Datuk mesti bersyukur selepas berjaya semula. Manisnya liku," tulis seorang netizen lagi.

Terdahulu, Datuk Red mendedahkan mengenai kehidupannya yang berdepan kesukaran selepas diisytiharkan muflis sejak 2019 dan terpaksa menanggung beban hutang mencecah RM5 juta.

Akibat kehidupan yang terdesak hingga terpaksa ditanggung dua isterinya, dia berusaha mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan dan keperluan anak-anaknya.

Pendedahan yang dibuat Datuk Red di media sosial itu membuatkan ramai simpati dan menawarkan pekerjaan kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 1:18 PM