Redza memuat naik gambar perkahwinan dengan seorang wanita menjadi tanda tanya peminat.
Redza memuat naik gambar perkahwinan dengan seorang wanita menjadi tanda tanya peminat.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Tiada angin mahupun ribut, suami kepada pelakon, Irma Hasmie iaitu Redza Syah Azmeer memuat naik hantaran gambar perkahwinannya dengan seorang wanita di akaun Instagram (IG). 

Dalam hantaran itu, Redza menulis keterangan berkaitan perjalanan baharunya sebagai suami kepada wanita terbabit.

"Bismillah. Perjalanan baharu bermula. Fokus adalah keluarga, karier dan masa hadapan bersama. Semoga Allah membalas kebaikan untuk doa-doa kalian. 

"Semoga Allah SWT makbulkan segala doa-doa yang baik-baik kepada kalian dan pertemukan kebahagiaan yang dicari," tulisnya. 

Harian Metro cuba menghubungi Irma untuk mendapatkan kepastian dan penjelasan mengenai perkahwinan itu namun dia gagal dihubungi. 

Tinjauan Harian Metro ke IG Irma menyaksikan tiada hantaran baharu dimuat naik sejak lima hari lalu selain hantaran ulang (repost) di IG Storynya.

Terdahulu, pada Februari lalu, Harian Metro melaporkan Irma enggan mengulas lanjut mengenai rumah tangga dan hal peribadinya apabila diajukan persoalan mengenai perkara terbabit.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 6:25 PM