TENGKU Razaleigh, gambar fail. FOTO NSTP
TENGKU Razaleigh, gambar fail. FOTO NSTP
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan tindakan Speaker Dewan Rakyat yang mengekalkan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri adalah bermotifkan politik.

Menurut beliau, secara dasarnya keenam-enam ahli Parlimen itu perlu kosongkan kerusi kerana tidak lagi sehaluan dengan parti yang mereka sertai.

Malah, katanya, tindakan enam ahli Parlimen itu juga dianggap mengubah 'kiblat' apabila bertindak memberi sokongan kepada parti lain.

"Jadi ini adalah semuanya alasan politik yang diberikan bukan dari segi undang-undang atau pun tujuan sebenar kita pinda perlembagaan dulu.

"Jadi sebaiknya yang enam (Ahli Parlimen) sudah berpindah parti ataupun mengalih kesetiaan kepada parti yang lain dan tak mahu lagi sokong arahan partinya sendiri, mesti kosongkan kerusi ini.

"(Mereka) sudah memberi sokongan kepada parti lain maknanya dia (mereka) sudah pindah kiblat, apabila dia (mereka) pindah kiblat bererti dia sudah pindah parti atau pendirian," katanya menerusi akaun TikToknya, semalam.

Beliau yang juga ketua Umno Bahagian Gua Musang juga berkata, keputusan di Dewan Rakyat juga seharusnya selari dengan keputusan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

"Ini perkara yang pelik kerana sepatutnya hanya ada satu tafsiran sahaja, kalau kosong di Kelantan kerana menggunakan peruntukan perlembagaan yang sama, yang dipinda oleh Parlimen untuk menyekat orang melompat parti (maka) di Parlimen pun sama.

"Tak boleh berbeza di antara satu dengan yang lain, kerana peruntukan dalam perlembagaan itu sama.

"Dengan tujuan yang sama, jelas sekali di Kelantan dilakukan kerana kekosongan itu mesti wujud, oleh sebab orang di Kelantan atau wakil di Kelantan itu, sudah memberi sokongan kepada parti lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 6:24 PM