GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Seremban: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan masih menguatkuasakan larangan pengeluaran dan pengambilan kupang dan kerang-kerangan di Port Dickson berikutan masih terdapat spesies alga Alexandrium dan kadar biotoksin yang tidak stabil.

Pengarah berkenaan Kassim Tawe berkata pihaknya sudah melakukan 15 kali pengambilan sampel terhadap makanan laut tersebut untuk dianalisis di makmal sejak 2 April lalu.

Beliau berkata had pengambilan selamat untuk manusia adalah di bawah 800 per bilion (ppb) namun hasil sampel makmal diterima tidak stabil iaitu bacaan 470 ppb sebelum naik kepada 600 ppb.

"Kami masih menunggu keputusan ujian makmal dijangka selepas 18 Julai ini, pihak perikanan negeri juga melakukan pemantauan berkala agar para penternak mematuhi larangan tersebut. Setakat ini semua penternak mematuhi setiap arahan dikeluarkan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jabatan itu sebelum ini mengesahkan kupang di Port Dickson dicemari biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan selepas analisis mendapati terdapat tiga alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia pada April lalu susulan laporan lapan kes keracunan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 6:08 PM