FOTO IG Sweet Qismina
FOTO IG Sweet Qismina
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Sweet Qismina berkongsi berita gembira mengenai dirinya yang kini disahkan bebas daripada Covid-19. 

Sweet menerusi Instagramnya meluahkan rasa syukur kepada Tuhan di atas penyembuhan ini.

"Akhirnya, bebas Covid-19! Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Syukur ya Allah," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Sweet mengingatkan masyarakat supaya tidak bersikap pentingkan diri sendiri.

"Covid-19 itu wujud. Tolong jangan buat main. Kalau sayangkan keluarga, jaga diri, jaga jarak, buat ujian calitan bila perlu dan paling penting, tolong jangan pentingkan diri sendiri," tulisnya.

Menurutnya, dia adalah antara individu yang sanggup melakukan ujian calitan setiap dua minggu untuk memastikan kesihatannya berada dalam keadaan baik, namun, tetap diuji dengan penyakit ini.

"Ada yang beriya menjaga, tapi kena positif. Tak ada sesiapa yang nak penyakit ini. Saya antara orang yang sanggup buat ujian calitan setiap dua minggu sekali, tapi, bila Allah kata nak kena, memang nak kena juga.

"Jadi, jangan salahkan orang lain untuk dugaan ini. Semua kuasa Allah dan Allah tahu kita kuat untuk semua ini.

"Terima kasih untuk satu pengalaman luar biasa. Terima kasih. Doakan kakak-kakak saya di MAEPS Serdang dan semua pesakit yang sedang kuat menempuh ujian ini," tulisnya.

Sweet juga  menitipkan ucapan terima kasih kepada petugas perubatan yang menjaganya sepanjang menjalani kuarantin. 

"Terima kasih Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 (PKRC) Ipoh, Dr Yus dan pasukan, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, Hospital Kuala Kangsar, pasukan produksi penggambaran saya dan rakan-rakan baru.

"Ia adalah pengalaman yang mencabar mental dan fizikal, namun, alhamdulillah dapat ditempuhi jua," tulisnya.

Pada 21 April lalu, Sweet berkongsi berita mengenai dirinya yang disahkan positif dijangkiti Covid-19 di Instagram.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 7:43 PM