HAFIZ Kamal antara tonggak Imigresen FC. FOTO IMIGRESEN FC
HAFIZ Kamal antara tonggak Imigresen FC. FOTO IMIGRESEN FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Imigresen FC mahu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah musim ini apabila turun menentang pasukan berpengalaman, PT Athletic di Stadium Mini UKM di Bandar Baru Bangi, petang esok.

Ia disuarakan pengendali yang cukup berpengalaman, Mat Zan Mat Aris yang mahu anak buahnya memberi sepenuh tumpuan untuk aksi kelima saingan Liga A1 Semi Pro MBSB Bank itu.

Bagaimanapun, Mat Zan yang pernah membimbing beberapa pasukan ternama Liga Super seperti Terengganu, Negeri Sembilan FC, PDRM FC dan banyak lagi mengakui bukan mudah bertemu PT Athletic di mana lawan memiliki barisan pemain berpengalaman.

"Mereka (PT Athletic) ada Indra Putra Mahayuddin, Amri Yahyah, Syazwan Zainon dan ramai lagi yang memang berpengalaman di pentas tertinggi.

"Tapi sudah tentu kita juga nakkan kemenangan dan tak mahu kalah. Jadi saya ingatkan pemain beraksi seperti biasa dan beri fokus dengan menjalankan tugas masing-masing dengan sebaiknya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, Imigresen FC adalah juara Liga M3 musim lalu di mana tahun ini pertandingan itu dijenamakan kepada Liga A1 Semi Pro MBSB Bank.

Ketika ini Imigresen FC menghuni tangga ketiga liga dengan 10 mata selepas empat aksi dengan meraih dua kemenangan dan satu seri.

Kempen musim ini tampak lebih sengit dan ia turut diakui Mat Zan.

"Musim ini bagi saya sangat dengan banyak pasukan berkualiti. Bukan saja ada PT Athletic tapi ada juga Bunga Raya Damansara FC dan Gombak FC, dengan rata-rata pasukan terbabit diperkuatkan pemain berpengalaman.

"Ini musim yang mencabar bagi kami tapi saya percaya pemain sudah bersedia menghadapinya dan cuba beri tentangan sengit dalam setiap perlawanan ditempuhi," katanya yang pernah menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia kepada Terengganu pada 2001 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 6:02 PM