Azan Ruffedge di ssbalik maskot ‘Abang Jagung’. Foto Zaara Talita
Azan Ruffedge di ssbalik maskot ‘Abang Jagung’. Foto Zaara Talita
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Minggu keenam program The Masked Singer musim keempat menyaksikan penyingkiran Abang Jagung sekali gus mendedahkan identiti Azan Ruffedge disebalik maskot.

Menepati tekaan dan ramalan, barisan juri rata-rata menebak nama anggota kumpulan Ruffedge itu yang membawakan lagu Harus Terpisah yang dipopularkan oleh Cakra Khan. 

Azan atau nama penuhnya, Azan Addin Abdul Wahab mengakui sudah memberikan yang terbaik,  namun menerima keputusan itu dengan berlapang dada.

"Saya sudah berusaha sebaik mungkin dan perjuangan saya berakhir pada minggu keenam ini. Apabila semua juri menyebut dan meneka nama saya, tiada apa yang dapat dilakukan. 

"Ini adalah pengalaman yang baru buat saya dan tidak dinafikan bukan mudah untuk membuat persembahan dalam kostum yang berat ini. Malah, alas kepala seperti anak tudung sudah menutup mata saya ketika menyanyi bahagian korus.

"Memang 'struggle' juga dan saya cuba menggerak-gerakkan kening dan dahi kerana alas kepala itu sudah menutup mata saya. Mujur juga persembahan dipermudahkan dan hampir hilang nafas juga ketika insiden itu terjadi. 

"Rezeki saya sampai di sini saja dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menyokong saya sehingga ke peringkat ini," katanya.

Minggu hadapan bakal menyaksikan lapan lagi maskot berentap dalam TMSMY4 antaranya, Sang Kancil, Roti John, Mat Helang, Teratai, Bunga Matahari, Biskut Aiskrim, Musang dan Bawang Putih.

Barisan juri TMSMY4 pula adalah Datuk Aznil Hj Nawawi, Erra Fazira, Michael Ang, Angah, Nabila Huda, Zizan Razak, Sherry Alhadad, Rozita Che Wan dan Michael Ang.

Selain itu, Datuk AC Mizal sekali lagi menggalas tanggungjawab sebagai hos untuk program TMSMY4 yang berlangsung selama 10 minggu dan disiarkan secara langsung dari CIDB Convention Center, Kuala Lumpur.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 12:06 PM