Zaara Talita


ADAT bertanding, pastinya semua peserta menyimpan hasrat untuk mara hingga ke pentas akhir atau 'final'. Namun, rezeki yang menentukan untuk sampai ke tahap utama itu.

Begitulah juga dengan impian pelakon Hun Haqeem di sebalik kostum maskot Roti John yang gagal meneruskan perjuangannya berentap di kemuncak The Masked Singer musim keempat (TMS 4) pada malam Ahad ini.

Hun yang cukup popular dengan watak Jekfer dalam drama Kampung People di TV3 itu terpaksa akur hanya mampu bersaing di peringkat separuh akhir saja apabila diumumkan tersingkir baru-baru ini.

Hun atau nama sebenarnya, Haqeem Hermy terkandas dengan persembahan lagu Rozana yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Search pada 1986.

Hun berkata, dia sedaya upaya cuba menipu juri-juri untuk meneka di sebalik kostum maskot dipakai itu walaupun tugas digalas adalah paling susah kerana bukan mudah nak menipu suara yang sedia ada. 

"Bagaimanapun, saya sangat menghargai peluang yang diberikan. Biasalah adat bertanding, ada yang kalah dan yang menang, tapi saya bersyukur sudah berjaya hingga ke peringat separuh akhir yang pengalamannya amat bermakna.

"Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya saya. Malah, buat peminat yang datang setiap minggu untuk memberi sokongan dan saya cukup hargainya. 

"Jadi, saya ingatkan jangan lupa untuk saksikan persaingan peserta yang mara di 'final' dan teruslah menyokong kesemua lima pemakai kostum maskot yang masih bertanding itu," katanya.

Penyingkiran Hun berlaku selepas barisan juri sebulat suara memilih peserta di sebalik kostum maskot Roti John apabila diumumkan memiliki markah terendah. 

Biarpun barisan juri meminta agar pusingan akhir dimeriahkan dengan enam orang peserta bertanding, namun pihak produksi yang difahamkan tidak dapat menunaikan permintaan juri.

Sehubungan itu, kostum maskot yang kekal berentap di pusingan akhir adalah Sang Kancil, Mat Helang, Teratai, Bunga Matahari dan Biskut Aiskrim.

Barisan juri pula terdiri daripada Datuk Aznil Nawawi, Erra Fazira, Michael Ang, Angah, Nabila Huda, Zizan Razak, Sherry Alhadad dan

Rozita Che Wan, manakala pengacara adalah Datuk AC Mizal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:02 AM