Elly hanya menyanyi beberapa rangkap ketika berduet.
Elly hanya menyanyi beberapa rangkap ketika berduet.
Michelle Gun


Kuala Lumpur: Peminat Elly Mazlein tidak berpuas hati apabila penyanyi itu hanya menyanyi beberapa rangkap lagu Putus Terpaksa ketika berduet dengan Zul 2by2 pada minggu terakhir program Super Karoks Kool FM, baru-baru ini.

Elly berkata, persembahan sedemikian sebagai strategi untuk membuat peminat mendengar semula nyanyian mereka.

"Memang kami berpakat mahu menunjukkan lelaki menyampaikan lagu nyanyian Ziana Zain dan saya cuma menyanyikan bahagian korus.

"Ini kerana kami mahu membuat peminat rasa tidak puas supaya mereka akan berkali-kali mendengar nyanyian kami.

"Namun, paling penting saya dan Zul seronok berduet lagu ini," katanya.

Menurutnya, penyanyi Mas Idayu dan komposer Azmeer selaku juri jemputan pertandingan turut memberi komen positif mengenai persembahan mereka.

"Seronok juga berpeluang berganding dengan Zul untuk program ini dan dia banyak membantu saya," katanya.

Klip video persembahan minggu terakhir Elly dan Zul 2by2 boleh disaksikan di akaun YouTube Kool FM dan setakat ini sudah mempunyai sebanyak 21,680 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 7:29 PM