Soo Wincci bersama kostum Kak Cat
Soo Wincci bersama kostum Kak Cat
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Minggu pertama The Masked Singer Malaysia (TMSMY) musim ke-4 menyaksikan penyanyi dan pensyarah, Dr Soo Wincci dalam kostum Kak Cat tersingkir.

Dua juri program berkenaan iaitu Angah dan Nabila Huda menepati telahan apabila meneka Soo Wincci disebalik kostum berkenaan.

"Strategi saya adalah untuk cuba membawakan lagu-lagu yang berlainan daripada genre keselesaan saya kerana ingin mengelirukan penonton dan juri. Lagu-lagu berkenaan kebanyakan dibawa pada minggu akan datang namun strategi tidak menjadi.

"Apa pun tidak mengapa ini adalah satu cabaran kerana setiap selebriti ada kekuatan masing-masing. Jadi kita tidak dapat menduga siapa yang akan tersingkir.

"Ini satu pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Pengalaman memakai kostum yang berat dan perlu menari serta penyanyi adalah sesuatu yang tak dapat saya lupakan.

"Sebelum ini saya melihat program seperti ini di luar negara saja, namun tidak sangka saya sendiri dapat merasainya," kata Wincci yang menyampaikan lagu Pelukan Angkasa oleh SOG dan Shila Amzah.

TMSMY4 yang kini disiarkan secara langsung dari CIDB Convention Center, Kuala Lumpur membuka tirai programnya dengan persembahan 14 orang peserta semalam.

Peserta Cili Padi dan Abang Jagung turut tersenarai dalam tangga tiga terbawah pada minggu pertama.

Turut bersaing adalah Sang Kancil, Roti John, Ikan Emas, Mat Helang, Teratai, Bunga Matahari, Biskut Aiskrim, Musang, Putera Katak, Pom Pom Kin, Bawang Putih, Cili Padi dan Abang Jagung.

Selain Angan dan Nabila TMSMY4, menampil barisan juri seperti Datuk Aznil Nawawi, Erra Fazira, Michael Ang, Zizan Razak, Sherry Alhadad, Rozita Che Wan dan Elly Mazlein. Manakala Datuk AC Mizal menggalas tanggungjawab sebagai hos program.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 2:46 PM