Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon, Nabila Huda memeriahkan separuh akhir program The Masked Singer, malam tadi apabila tampil dengan gaya bapanya, Datuk Amy Search.

Nabila yang juga juri tetap program itu berkata, sebagai anak Amy, dia berterima kasih kepada pihak produksi kerana mengangkat dan memilih tema Double Trouble di mana peserta menyanyikan lagu-lagu daripada kumpulan rock legenda, Search dan Wings.

"Semua orang tahu, Amy dan Datuk Awie adalah dua nama besar dalam industri muzik tempatan.

"Dalam masa yang sama, usia papa juga semakin meningkat. Saya mohon semua mendoakan kesejahteraan dan kesihatannya. Jadi, pada hari ini saya berbangga menggayakan pakaian dan imej seakan-akan papa ketika awal kemunculannya dulu," katanya.

Nabila yang menggunakan nama Abil Search untuk imej itu berkata, Amy bukan saja bapa dan idolanya, tetapi individu yang sangat dibanggakannya.

"Jadi, pasukan saya bertungkus lumus bagi memastikan baju, kasut, rambut dan semuanya menepati gaya Amy," katanya.

Selain Nabila, juri tetap untuk program ini terdiri daripada Datuk Aznil Nawawi, Erra Fazira, Michael Ang, Angah, Zizan Razak, Sherry Alhadad dan Rozita Che Wan, manakala Datuk AC Mizal sebagai hos.

Maskot-maskot yang bakal berentap di pusingan akhir adalah Sang Kancil, Mat Helang, Teratai, Bunga Matahari dan Biskut Aiskrim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 4:27 PM