NASHRAIN optimis dengan bakat dimiliki.
NASHRAIN optimis dengan bakat dimiliki.
Sudirman Mohd Tahir

BETUL kata orang rezeki itu tidak pernah salah alamat.

Mungkin sedikit lewat, namun bagi penyanyi Nashrain, peluang kedua yang diberikan syarikat rakaman Armani Entertainment Group (AEG) tidak harus dipersiakan.

Menerusi peluang itu, Nashrain merakamkan single Dahlia hasil ciptaan Anas Amdan yang dilancarkan pada 29 Julai lalu.

Nashrain yang juga naib juara program realiti My Star LG musim kedua pada 2009 menyifatkan Dahlia adalah kemunculan semulanya selepas sekian lama 'menyepi' daripada industri muzik tanah air.

"Alhamdulillah, syukur saya diberikan peluang kedua yang tidak ternilai. Bagi saya ini hasil kepercayaan pihak AEG yang nampak bakat saya. Selain itu, platform yang disediakan pihak rakaman lengkap kerana mempunyai pasukan yang cekap dan sentiasa membantu saya dalam apa jua perkara.

"Selama ini saya sebenarnya tercari-cari peluang untuk menembusi pasaran arus perdana, namun tidak berkesempatan hingga diberitahu oleh isteri mengenai sesi uji bakat The Audition tahun lalu. Saya berasakan inilah peluang saya untuk beri segalanya selain membuat 'comeback'.

"Saya percaya peluang itu terbuka luas jika sabar dan yakin. Untuk peminat yang mengenali saya, lagu ini untuk anda semua. Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya dan percaya pada bakat yang saya ada. Semoga Dahlia menjadi permulaan peluang kedua saya dan doakan saya agar dapat berikan yang terbaik buat semua," katanya.

NASHRAIN buat ‘comeback’ dengan lagu Dahlia.
NASHRAIN buat ‘comeback’ dengan lagu Dahlia.

Walaupun selepas kegagalan beberapa single keluarannya, Nashrain atau Wan Nashrinie Zafri, 33, tidak pernah mengaku kalah, malah terus mengorak langkah untuk menjadi penyanyi berjaya.

Buktinya, kejayaan awal bagi single Dahlia yang sudah pun mencapai lebih 70,000 tontonan di YouTube sejak dilancarkan.

"Semuanya berjalan lancar seperti yang direncanakan dan walaupun masih baharu saya percaya lama-kelamaan ia akan membuahkan hasil kerana kejayaan tidak diraih dalam sekelip mata.

"Kebanyakan komen yang saya terima, ramai yang tertunggu bila saya akan muncul dengan lagu baharu selepas tidak muncul dengan mana-mana single sejak sekian lama," katanya.

Menurut Nashrain, Dahlia mempunyai signifikasi yang istimewa dalam hidupnya yang mana ia berdasarkan cerita sebenar yang berkait rapat dengan hubungan kekeluargaan.

"Tidak dinafikan sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara, ramai yang kehilangan orang tersayang dan ada pula terpaksa berjauhan dengan keluarga. Sebagai ketua keluarga saya harus menggalas tanggungjawab ini demi mencari rezeki dan mengejar cita-cita.

"Bagi saya, lagu ini bersifat universal di mana saya tujukan kepada anak saya. Jadi ketika berada di studio rakaman saya perlu fokus sepenuhnya dan tidak mengikut perasaan kerana ia boleh mengganggu mutu nyanyian saya," katanya.

Dalam masa sama, Nashrain percaya pada bakat kerana tanpa bakat tidak akan ke mana-mana.

"Dalam dunia serba moden ini, pembangunan teknologi digital hanya membantu dari belakang dan bukan nombor satu, jadilah penyanyi yang sentiasa bersiap siaga dan hargai sokongan peminat," katanya

.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 6:20 AM