BERJAYA menyentuh hati lebih 2,000 penonton dengan nyanyian gemersiknya.
BERJAYA menyentuh hati lebih 2,000 penonton dengan nyanyian gemersiknya.
Georgie Joseph


KEJAYAAN karier muzik penyanyi Britain, Calum Scott cukup menarik untuk dirungkai.

Lahir dari program realiti Britain's Got Talent (BGT) 2015, sehingga kini dia masih tidak percaya akan berada di tahap sekarang.

Scott, 34, mengakui muzik adalah penyelamat terbesar dalam hidupnya selain keluarga terutama ibu. Tanpa muzik, dia berasakan ke mana hala tuju hidupnya kerana pernah berdepan detik gelap sebelum ini.

Di sebalik tawa riang dan karakter ceria, tersimpan 1,001 kisah sulitnya. Perkara itu dikongsikan Scott pada konsert Bridges Asia Tour 2022 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Saya pernah berada dalam kegelapan tidak lama dulu. Pada satu tahap saya tidak tahu apa lagi hendak lakukan dengan hidup saya.

"Apabila mula menyanyi dan buat muzik, perlahan-lahan saya merasai keindahan sisi lain hidup saya. Saya juga menjadi lebih kuat kerana kasih sayang dan sokongan ibu saya. Namun, saya paling terhutang budi dengan kakak saya, Jade. Dia yang yakinkan bahawa saya memiliki anugerah dalam bakat nyanyian dan dari situ bermula segalanya," katanya.

Pada konsert dihadiri lebih 2,000 penonton itu, emosi Scott benar-benar terjentik dengan jeritan yang bergema melaungkan namanya dari awal hingga akhir acara.

Jelas terpancar rasa syukur dapat mengelilingi dunia dan meraih permintaan demi permintaan untuk dia membuat persembahan.

SCOTT masih tidak percaya miliki ramai peminat
SCOTT masih tidak percaya miliki ramai peminat

"Saya hilang kata-kata. Ini kali kedua saya ke Kuala Lumpur dan masih tersentuh serta tak percaya bahawa saya memiliki peminat yang luar biasa di sini," katanya.

Walaupun setakat konsert berskala sederhana, produksi ditampilkan sangat mengagumkan. Diiringi band serta penyanyi latar, menjadikan konsert terbabit tampak lebih gah sesuai taraf antarabangsa.

Padahal, ikutkan peminat pasti ingin mendengar kemerduan suara penyanyi terbabit saja. Mana tidak, kekuatan vokalnya saja sudah cukup membuatkan ramai puas dengan persembahan.

Tapi, itu namanya penghibur. Apatah lagi pengalaman membuat persembahan tanpa henti tentu mengajar Scott 1,001 strategi memberikan kepuasan maksima baik untuknya mahupun penonton.

Bermula jam 8.30 malam, penonton terlebih dahulu dihiburkan penyanyi jemputan, Mitch James dari New Zealand. Bakat muda itu tampil ringkas berbekalkan gitar saja dan vokal yang hebat.

Sebaik Scott muncul di pentas, seluruh dewan bergema dengan jeritan menandakan tidak sabar mendengar nyanyiannya.

Tampil bersahaja, dia tetap memberikan persembahan vokal yang begitu mantap menerusi lagu hitnya. Menyanyikan lebih 15 lagu, tenaganya tetap konsisten sepanjang hampir dua jam beraksi.

Lagu dipersembahkan termasuk Rise, I'll Be There, Cross Your Mind, Need To Know, Last Tears, Biblical, Flaws, The Way You Loved Me, Boys in the Street, Bridges, This Love, Where Are You Now, Run With Me, dan If You Ever Changed Your Mind.

Jeritan paling kuat kedengaran tatkala dia menyanyikan dua lagu berhantunya You Are The Reason dan Dancing on My Own. Penonton juga lantas keluarkan telefon bimbit masing-masing kerana tidak mahu terlepas merakam nyanyian secara langsungnya.

Tidak ketinggalan, dia turut menampilkan penyanyi dan pelakon, Diana Danielle untuk mempersembahkan lagu duet mereka berjudul Heaven.

Konsert terbabit dianjurkan AEG Presents Asia dan PR Worldwide. Siri jelajahnya membabitkan Filipina, Indonesia, Jepun, Singapura dan Thailand itu dibuat sempena promosi album baharunya, Bridges.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 6:11 AM