ANGKAT lagu dari trend ‘shuffler’.
ANGKAT lagu dari trend ‘shuffler’.
Zaara Talita

Agak lama menyepikan diri daripada bidang nyanyian, Aril Pilus kini tampil dengan single terbaharu berjudul Tak Sempurna sebagai 'comeback' dalam industri seni tempatan.

Naib juara program realiti Akademi Fantasi (AF) musim ketujuh itu mempertaruhkan karya ciptaan bersama komposer, Justin Seow dan penulis lirik, Asyraf Nasir.

Graduan Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, idea single Tak Sempurna hadir daripada laman sosial.

"Trend tarian 'shuffle' kembali tular dan diminati ramai dalam media sosial, baru-baru ini. Saya dahulunya seorang 'shuffler' dan mempunyai pengikut ramai di dalam dan luar negara.

"Jadi, saya ambil kesempatan menghasilkan karya berentak pop EDM dan berhasrat menghasilkan festival EDM, selain mempromosikannya.

"Single Tak Sempurna ini juga bermaksud sentiasa mara ke hadapan dan apabila jatuh, bangkit semula. Jangan sesekali menyerah kalah kerana kita semua tidak sempurna.

ARIL buat ‘comeback’ dengan lagu Tak Sempurna.
ARIL buat ‘comeback’ dengan lagu Tak Sempurna.

"Walaupun rancak, liriknya lebih memberi motivasi dalam membangkitkan semangat," katanya.

Biarpun lama menghilangkan diri dari radar kerjaya sebagai penyanyi, Aril mengakui cintanya terhadap bidang nyanyian masih kuat.

"Alhamdulillah, saya masih terima undangan nyanyian, pengacara majlis dan program televisyen. Saya juga giat menjalankan aktiviti perniagaan.

"Single Tak Sempurna ini membawa maksud kebangkitan semula saya dalam industri muzik. Bukan saya sahaja, malah untuk komuniti tarian 'shuffle' serta penggemar muzik EDM," kata Aril.

Menurutnya, perancangan menghasilkan single baru tercetus sejak tahun lalu, namun lagu Tak Sempurna diilhamkan selepas bertemu insan yang menepati cita rasanya.

"Tidak ramai memahami konsep muzik EDM, hanya yang menjiwai akan faham. Saya turut menjemput penyanyi rap tanah air, Nigel Sparks untuk menambahkan warna dalam karya ini dan hasilnya amat memuaskan hati.

"Sebagai pengusaha kreatif, saya perlu menimba ilmu supaya karya yang dihasilkan lebih berkualiti dan mempunyai nilai.

"Jadi, saya berharap single Tak Sempurna diterima ramai. Karya ini mempamerkan sisi berbeza yang ramai tidak tahu saya adalah 'shuffler'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 6:30 AM