Fasha Sandha
Fasha Sandha
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon jelita, Fasha Sandha menafikan dia melakukan pembedahan bariatrik untuk menurunkan berat badan.

Fasha berkata, dia melakukan diet dan mengawal pemakanan untuk mendapatkan berat badan ideal.

Dia juga mengawal pengambilan karbohidrat dan memotong pengambilan gula untuk menurunkan berat badan selepas melahirkan anak ketiganya, Aisha Amaira.

"Saya tidaklah begitu kurus pun, perut masih ada lagi cuma saya pakai 'girdle' dan baju hitam itu yang menampakkan saya kurus. Saya belum mencapai berat badan ideal lagi.

"Saya tak buat (pembedahan biatrik). Saya jaga makan dan tak ambil gula. Cuma ketika raya baru-baru ini, berat badan saya bertambah akibat banyak makan.

"Namun, saya bersyukur kerana masih ada pihak yang mempercayai bakat saya tidak kira gemuk atau kurus. Saya percaya tawaran dan anugerah yang diberikan adalah berkat rezeki anak-anak dan berkat doa suami," katanya.

Fasha melahirkan cahaya mata ketiganya pada 7 Ogos 2020.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan mendirikan rumah tangga dengan Aidil Aziz, 34, pada Mac 2019. Ia juga perkahwinan kedua Fasha.

Menerusi perkahwinan pertama, Fasha mempunyai dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli, 8, dan Putri Raysha Jemyma, 6.

Dalam pada itu, Fasha turut memohon orang ramai untuk tidak meninggalkan komen negatif kepada golongan selebriti yang 'berisi'.

"Bukan mudah sebenarnya untuk menurunkan berat badan. Apatah lagi bagi mereka yang mempunyai rangka besar seperti saya. Terutama selepas bersalin, lagi susah hendak mendapatkan bentuk tubuh lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 6:24 PM