Fasha bersama suami dan anaknya
Fasha bersama suami dan anaknya
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Fasha Sandha menghormati prinsip dan keputusan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli yang tidak membenarkan anak-anak mereka menceburi bidang seni.

Fasha mengakui anak perempuannya yang semakin meningkat remaja, Jemyma ada menerima tawaran lakonan namun menolak atas permintaan Rizal atau lebih dikenali sebagai Jejai.

"Tidak untuk Jemyma, tapi mungkin akan terima untuk Aisha kerana bapa kepada Jemyma tidak memberi keizinan untuk dia berada dalam bidang ini.

"Jadi terpulanglah kepada minat mereka untuk berada dalam apa jua bidang pun. Sebagai ibu, saya menyokong saja apa saja minat mereka," katanya.

Fasha atau pemilik nama penuh, Nur Fasha Sandha Hassan gembira dan bersyukur kerana anak-anak kesayangannya sudah semakin bijak dan dikurniakan kesihatan yang baik.

Berkongsi kebahagiaan sebagai ibu yang melihat anak perempuannya membesar, Fasha mahu Jemyma menjadi seperti dirinya yang berdikari dan tabah dalam melayari kehidupan.

Sementara itu, Fasha berkata, cahaya matanya iaitu Aisha Amaira hasil perkongsian hidup dengan pelakon Aidil Aziz turut menunjukkan minat dalam bidang seni.

"Aidil tidak menghalang sekiranya Aisha ingin menceburi bidang seni. Biarpun masih kecil, nampak minatnya juga sudah ke arah industri kreatif," katanya.

Menerusi perkahwinan pertama, Fasha mempunyai dua anak iaitu Putra Rayfal dan Putri Rasyha Jemyma.

Manakala perkongsian hidup dengan Aidil, mereka dikurniakan anak perempuan, Aisha Amaira.

Dalam perkembangan lain, Fasha bakal tampil dengan drama bersiri Malang Si Puteri yang bakal bersiaran di saluran Astro Ria.

Drama terbitan Radius One ini diarahkan oleh Uchee Fukada. Selain Fasha, drama ini menampilkan barisan pelakon seperti Hafreez Adam, Malek Mccrone, Wan Raja, Fahrin Ahmad, Raja Azura dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 2:41 PM