Fasha dan suami
Fasha dan suami
Zaara Talita


Bangi: Sering dilihat berkongsi kebahagiaan dan kemesraan di media sosial, pelakon Fasha Sandha bersyukur dikurniakan suami yang sangat bertolak ansur.

Mengakui bahawa pergaduhan atau perbalahan dengan pasangan dalam rumah tangga perkara biasa, Fasha berterima kasih dengan sikap suaminya, Aidil Aziz yang begitu tenang.

"Sejujurnya saya tak ingat bila kali terakhir kami gaduh, rasanya tahun ini belum gaduh lagi. Tiada apa yang hendak digaduhkan.

"Nak kata hubungan sempurna tidak juga. Setiap pasangan ada masam manis tetapi saya boleh katakan Aidil seorang yang sangat tenang.

"Tak logik pula kalau tidak gaduh, tetapi memang saya tidak ingat kerana setiap kali ada isu kami akan bincang bersama-sama," katanya ketika ditemui Harian Metro pada majlis pelancaran butik Alfaro, semalam.

Tambah pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu, dia berharap perkahwinan keduanya yang dibina sejak enam tahun lalu berkekalan hingga hujung nyawa.

Dalam masa sama, dia tetap mendahulukan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu supaya semuanya terjaga walau sesibuk mana tugas di luar.

"Paling penting sekali suami isteri tahu menghormati. Sebagai isteri pula sebesar atau setinggi mana, suami tetap di atas. Pastikan makan pakai semua tersedia.

"Sesibuk mana pun kita, jangan pernah melupakan apa isteri (patut) lakukan. Saya juga akan pastikan ada 'mood' untuk suami dan anak-anak.

"Bukanlah nak kata saya sempurna atau wanita solehah, tetapi saya cuba jadi isteri dan ibu baik," katanya.

Fasha dan Aidil berkahwin pada Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aisha Amaira.

Sebelum ini, Fasha pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai dan dianugerahkan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 9, dan Putri Raysha Jemaima, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 12:01 PM