Fasha Sandha
Fasha Sandha
Oleh Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon, Fasha Sandha, 39, memaafkan individu yang menuduhnya menjalani pembedahan bariatik atau potong usus bagi mendapat tubuh langsing.

Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan memohon agar orang ramai membuat kajian sebelum melemparkan dan menyebarkan tuduhan tidak berasas.

"Zaman teknologi di hujung jari. Kadang-kadang kita boleh diam dan biar tetapi kalau dah melampau, sampai sebarkan fakta palsu lepas tu acah-acah bertanya menimbulkan fitnah memang kena tegur agar jadi iktibar utk orang lain juga.

"Sebaiknya buatlah kajian sebelum tuduh. Bariatik atau jenis pembedahan yang hanya boleh dibuat sekiranya BMI (indeks tubuh) melebihi 28 ke atas (kategori obese) dan jika seseorang itu berpenyakit seperti darah tinggi atau gastrik.

"Sebelum ini BMI saya adalah 25.5 dan dikategorikan 'overweight', bukan obese. Saya tidak mempunyai apa-apa penyakit. Alhamdulillah," katanya.

Fasha berkata, dia tidak menghakimi orang lain yang melakukan pembedahan itu kerana ibunya sendiri menjalani prosedur sama disebabkan isu kesihatan.

"Saya tidak akan pandang rendah kerana mungkin suatu hari nanti saya pula akan memerlukan rawatan itu," katanya.

Fasha berkata, proses untuk mendapatkan bentuk tubuh ideal seperti sekarang mengambil masa serta memerlukan kesungguhan.

"Penurunan berat badan saya bukan cepat, sebaliknya mengambil masa lebih enam bulan. Sekarang saya hanya jaga pemakanan, bersenam dan ambil produk pada waktu malam. Hanya itu saya perlukan buat masa sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 5:08 PM