SUKA cabaran dan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.
SUKA cabaran dan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.
Norhayati Nordin


DALAM lakonan, Fasha Sandha, 39, pastinya antara nama selebriti wanita yang disegani ramai kerana disiplin kerja yang tinggi, termasuk sentiasa komited terhadap watak dibawakannya.

Tidak pernah menampilkan mutu lakonan menghampakan penonton, kemunculan Fasha dalam setiap drama dibintanginya di TV amat diminati ramai, bahkan karakter dilakonkan 'menjadi' dengan baik dan berkesan.

Umpamanya, watak Datin Safieya yang dijayakan ibu tiga anak ini menerusi drama Rampas Cintaku ditayangkan platform iQIYI pada tahun lalu. Drama itu meraih 100 juta tontonan digital dan ia satu pencapaian sangat besar dan terbaik.

Bersua Fasha pada sesi fotografi baru-baru ini, ternyata penampilan dirinya juga didapati agak kurus yang ketara.

Mengulasnya, dia mengakui kini amat menjaga rutin pemakanan harian, termasuk melakukan aktiviti senaman untuk kecergasan diri.

"Alhamdulillah, syukur usaha yang saya buat untuk turunkan berat badan sebelum ini berhasil. Saya perlu nampak lebih kurus untuk watak Datin Safieya dalam drama Rampas Cintaku 2 yang memulakan penggambaran tidak lama lagi.

"Kira-kira tujuh kilogram (kg) dapat diturunkan setakat ini dan saya bertekad mahu mengurangkannya (berat badan) lagi. Saya yakin ia dapat direalisasikan apabila terus komited menjaga rutin pemakanan harian dan bersenam," katanya.

FASHA akan muncul dengan drama Serpihan Sayang di TV3.
FASHA akan muncul dengan drama Serpihan Sayang di TV3.

Fasha yang didapati banyak juga muncul dengan melakonkan watak berat berkata, dia suka cabaran dan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.

Katanya, sebagai pelakon sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mempersembahkan setiap karakter dibawa dengan berkesan.

"Apabila sudah bersetuju menerima sesuatu watak untuk dilakonkan, kita kena buat 'homework' (kerja rumah) bagi memahami jalan cerita dan karakter itu. Malah, saya juga sanggup meluangkan masa memasuki kelas lakonan dengan pelakon senior.

"Hingga kini, saya selalu mengikuti kelas lakonan bersama pelakon, Fauziah Nawi setiap kali menerima projek drama baharu.

"Bahkan, saya juga tidak kisah perlu mengeluarkan bajet sendiri untuk mengikuti kelas yang diadakan itu.

"Saya suka sertai kelas lakonan bagi memperbaiki apa yang dirasa kurang dalam lakonan saya. Walaupun sudah berlakon lama sejak 2002, namun kelas lakonan tetap saya kena ambil sebagai inisiatif sendiri.

"Hampir semua drama saya akan mengikuti kelas lakonan bersama ibu Fauziah terlebih dulu, meskipun berlakon drama komedi. Saya pilih beliau (Fauziah) kerana kami sudah kenal lama sejak berusia 18 tahun, jadi beliau tahu di mana kelemahan saya," katanya.

Fasha yang mendirikan rumah tangga kali kedua dengan pelakon, Aidil Aziz pada Mac 2019, baru-baru ini berangkat ke Tanah Suci Makkah kali pertama untuk menunaikan umrah.

KOMITED dengan lakonan, Fasha akui mengikuti kelas berlakon dengan Fauziah.
KOMITED dengan lakonan, Fasha akui mengikuti kelas berlakon dengan Fauziah.

Katanya, dia amat bersyukur akhirnya impian sebagai 'tetamu Allah' menjadi kenyataan.

Bahagia dengan cahaya mata mereka, Aisha Amaira kini berusia dua tahun, Fasha berkata, dia dan suami juga berdoa diberi rezeki menimang anak lelaki pula.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Fasha mempunyai dua anak iaitu Putra Rayfal Ramli Rizal Ashram dan Putri Raysha Jemyma.

Watak wanita meroyan

Bakal muncul dengan drama Serpihan Sayang arahan Amor Rizan di slot Samarinda TV3, Fasha berkata, dia membawa watak Nadia yang mengalami masalah 'meroyan' selepas keguguran anak.

"Sejujurnya watak Nadia ini pada saya agak mencabar kerana perlu mengalami 'mood' yang sering berubah-ubah, antara gembira, sedih, ketawa dan menangis. Ia sukar dijangka.

"Tapi, lebih mencabar lagi apabila Amor sebagai pengarah juga tidak memberikan kebebasan kepada pelakon membawa watak mengikut kreativiti, sebaliknya perlu memenuhi kehendaknya. Bagi saya, okay saja nak ikut pun.

"Lagi pula, saya percaya pengarah pastinya lebih tahu arah tuju watak itu dan apa yang diinginkannya. Ditambah, watak Nadia pula memerlukan saya sering menukar 'mood' dengan tiba-tiba," katanya mengakui karakter berkenaan memenatkan.

Fasha berkata, ketika menjayakan penggambaran drama Serpihan Sayang itu, dia juga berasa risau setiap kali pulang ke rumah kerana sering tertanya-tanya sama ada lakonan okay atau tidak.

Jelasnya, bagaimanapun ia satu pengalaman sangat menarik.

Barisan pelakon lain turut membintangi drama itu selain Fasha ialah Aeril Zafrel, Shahz Jaszle, Elisya Sandha, Zarina Zainoordin, Ameerul Asyraf dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 6:40 AM