BERSYUKUR suami sentiasa menyokong setiap keputusannya.
BERSYUKUR suami sentiasa menyokong setiap keputusannya.
Zaara Talita


BERJAYA mendapatkan bentuk tubuh ideal selepas melahirkan anak bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan pelakon, Fasha Sandha dalam tempoh singkat.

Biarpun berjaya mencapai berat badan ideal, Fasha enggan memandang remeh perkara itu dan terus mengamalkan gaya hidup sihat dan bersenam.

Isteri kepada pelakon, Aidil Aziz itu bersyukur biarpun apa bentuk tubuh, namun suaminya tidak pernah mempersoalkannya.

Fasha bersyukur suaminya sentiasa berada di belakang dan memberi sokongan terhadap apa juga keputusan yang diambilnya.

"Saya bersyukur kerana Aidil tidak pernah mempersoalkan atau merungut biar apa pun bentuk tubuh saya. Berisi ke kurus ke, Aidil sentiasa memberikan sokongan kepada saya.

"Lebih istimewa, dia yang melatih dan bersama-sama bersenam bersama saya. Dalam masa sama, kami berdua dapat meluangkan masa berkualiti sebagai suami isteri," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai bentuk tubuh yang semakin langsing, Fasha terpaksa menurunkan berat badan secara maksimum kerana terikat dengan perjanjian (kontrak) untuk sebuah drama yang memerlukan dia kurus mendadak.

Fasha atau nama lengkapnya, Nur Fasha Sandha Hassan berkata, dia berjaya menurunkan 10 kilogram (kg) kerana mengamalkan diet pemakanan yang ketat selain baru saja selesai menjalani ibadah berpuasa.

"Saya terpaksa kurus untuk satu projek drama bulan ini. Syarat dalam drama itu saya kena nampak kurus dan sudah menandatangani kontrak.

"Saya tidak ambil ayam dan daging pada hari Isnin hingga Jumaat. Saya cuma makan ikan saja. Tapi, Sabtu dan Ahad saya akan makan apa saja. Saya masih makan nasi kerana memerlukan tenaga, cuma pengambilan itu dalam kuantiti yang terkawal," katanya.

Walaupun menginginkan bentuk badan yang kurus, Fasha berkata, dia enggan dilihat seperti orang sakit seperti yang dikatakan segelintir peminatnya dan mengawal bentuk badannya supaya tidak kelihatan terlalu kurus.

"Harap saya boleh kekalkan bentuk badan seperti sekarang. Takut juga lupa diri sebab saya senang naik berat badan sebenarnya," katanya.

Baru-baru ini, Fasha kesal apabila ada pihak menuduh dia melakukan pembedahan bariatrik bagi menurunkan berat badan. Namun, individu terbabit sudah membuat permohonan maaf.

Dalam pada itu, Fasha belum bersedia menambah anak kerana komitmen kerjanya bersama Aidil. Jadual kerjanya sudah terisi hingga tahun depan.

Fasha melahirkan anak ketiganya, Aisha Amaira pada 7 Ogos 2020. Mereka mendirikan rumah tangga pada Mac 2019 yang juga perkahwinan kedua Fasha.

Menerusi perkahwinan pertama, Fasha mempunyai dua anak iaitu Putra Rayfal Ramli, 8, dan Putri Raysha Jemyma, 6.

"Saya tahu Aisya mahukan peneman, cuma buat masa ini belum boleh lagi untuk menambah anak. Saya perlu melunaskan kerja dan begitu juga dengan Aidil.

"Nanti jika bercakap ada yang menganggap saya bermegah, cuma apa yang boleh saya katakan jadual kerja sudah terisi sehingga tahun depan. Insya-Allah sekiranya sudah selesai tanggungjawab, baru saya boleh memikirkan untuk menambah cahaya mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 6:00 AM