Kuala Lumpur: Pelakon popular Fasha Sandha mengakui belum bersedia untuk menambah cahaya mata.

Fasha, 38, atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan berkata, suaminya juga pelakon Aidil Aziz sudah menyatakan hasrat mahukan anak lelaki sekaligus mahukan dirinya hamil lagi tahun ini.

"Suami ini tahu minta saja, tapi yang usung kandungan sampai sembilan bulan orang perempuan juga. Tapi andai Tuhan beri rezeki hamil lagi, saya terima. Mungkin sebelum masuk usia 40 tahun, saya boleh beranak lagi. Mujur suami memahami.

"Tapi sekarang, cukuplah dulu ada tiga anak. Nak tambah anak lambat lagi. Aidil memang cakap nak anak lelaki pula tahun ini. Tapi sejujurnya, saya belum bersedia. Saya sibuk dengan komitmen seni dan duta produk," katanya.

Menerusi perkahwinan pertama, Fasha mempunyai dua anak iaitu Putra Rayfal dan Putri Rasyha Jemyma. Manakala perkongsian hidup dengan Aidil, mereka dikurniakan anak perempuan, Aisha Amaira.

Dalam perkembangan lain, Fasha yang baru dilantik menjadi duta produk Vitamin C Gebu Glow memuji usaha jenama itu mahu membantu golongan wanita khususnya suri rumah dan ibu tunggal.

"Saya dan adik beradik pernah hidup susah. Mama terpaksa kerja siang dan malam untuk menyara kami tanpa ayah di sini. Saat teringat kenangan lalu, saya terpanggil membantu mereka (Wawa dan Awien). Mereka pun tak boleh bayar tinggi sebab nak tolong agen bergelut di era pandemik. Saya okey kerana faham niat mereka yang ingin membantu.

"Pada akhirnya kalau sebut ibu tunggal, saya teringat perjuangan mama. Saya pun pernah menjadi ibu tunggal, tapi perjalanan dan liku hidup kami berbeza. Mama adalah inspirasi. Kalau ada duit lebih, kongsi dengan orang susah dan ia sangat berkat," katanya.

 

#kw Fasha Sandha, Aidil Aziz

#loc Kuala Lumpur

 

End

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 2:05 PM