Pelakon, Fasha Sandha. FOTO Aizuddin Saad
Pelakon, Fasha Sandha. FOTO Aizuddin Saad
Ridzuan Abdul Rahman


Ampang: Demi mahu meraikan Aidilfitri, pelakon Fasha Sandha, 39, menangguhkan dulu pembedahan tulang mata kirinya yang patah serta bebola mata kiri berdarah dan bengkak.

Fasha berkata, dia sepatutnya perlu menjalani pembedahan, tapi disebabkan enggan matanya berbalut, membuatkan dia mengambil keputusan untuk melakukannya selepas Hari Raya.

"Saya tak naklah mata berbalut waktu raya. Tapi apapun proses rawatan sedang berjalan. Luka luar dah hilang. Cuma dalam masih patah. Ibaratnya jari kita mengalami sedikit patah tapi kita masih gerakkan tulang tangan.

"Memang tak sakit kalau mata tak digerakkan ke kiri. Kalau kita paksa mata gerak arah itu memang sakit," katanya ditemui pada majlis Rumah Terbuka Global Station, di sini malam tadi.

Terdahulu, mata kiri Fasha cedera akibat terhempap bucu katil ketika menjalani penggambaran telefilem Anak Tuan bersama Azhan Rani di Johor Bahru, Johor.

Melalui rakaman video yang dikongsi di Instagram (IG), Fasha dilihat ditolak pelakon gandingan, Azhan Rani hingga kepala dan matanya terkena pada bucu katil secara tidak sengaja.

Dalam perkembangan berkaitan, keadaan fizikal Fasha dilihat agak kurus berbanding dahulu.

Menurutnya, ketika dimasukkan ke hospital selera makannya agak berkurangan.

"Tambah lagi waktu itu bulan puasa. Jadi masalah kurang selera ini bersambung-sambung. Memang saya nak kurus tapi bukan dalam keadaan tak sihat. Kalau kurus biarlah saya sihat dan gembira.

"Setakat ini saya alami penurunan sebanyak 10 kilogram. Sebenarnya banyak faktor lain juga saya kurus. Salah satunya lepas keluar hospital saya jaga makan.

"Yang ketiga saya kurangkan pengambilan daging dan ayam pada hari biasa. Isnin hingga Jumaat tak makan ayam langsung. Sabtu dan Ahad baru makan. Saya hanya makan ikan dan nasi sikit," katanya.

Fasha berkata, dia juga terpaksa kurus untuk shooting drama Rampas Cintaku musim kedua dengan MIG Productions pada Jun ini.

"Syarat untuk berlakon drama ini ialah saya kena kurus. Dalam kontrak pun disebut kena kurus. Petua untuk elak makan ayam dan daging saya dapat dari pelakon Syamim Farid.

"Saya kagum dia langsung tak makan nasi. Apapun suami saya, Aidil sangat menyokong walaupun saya gemuk atau kurus. Dia tetap sayang dan yang penting saya sihat.

"Harapnya lepas habis shooting drama ini, berat saya boleh bertahan. Saya mudah lupa diri juga dalam bab pemakanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 11:35 AM