PASANGAN ini berdiri di luar Bataclan iaitu dewan konsert yang mengorbankan 100 nyawa. FOTO AP
PASANGAN ini berdiri di luar Bataclan iaitu dewan konsert yang mengorbankan 100 nyawa. FOTO AP
Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang berlaku di Paris yang meragut lebih daripada 100 nyawa.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan turut mengesahkan sehingga kini tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.

“Serangan kejam ini mengesahkan lagi keperluan untuk kita semua berdiri teguh menentang keganasan.

“Di saat kesedihan ini, Malaysia berdiri bersatu dengan keluarga mangsa, kerajaan serta rakyat Perancis,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengutuk siri serangan kumpulan bersenjata di Paris.

“Malaysia mengutuk serangan melampau di Paris hari ini ke atas orang awam yang tidak berdosa. Doa kami untuk rakyat Perancis," kata Najib di laman Twitter.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman melahirkan simpati dan sedih mengenai kejadian serangan yang berlaku di Perancis malam tadi.

"Saya terkejut dan sedih dengan berita serangan di Paris. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Kerajaan Malaysia bersama komuniti antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya serangan ini," katanya dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 12:44 PM