Kuala Lumpur: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas pejabat akhbar satira, Charlie Hebdo di Paris kelmarin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, negara ini menentang sebarang bentuk tindakan keganasan.

Malah beliau menegaskan, kegiatan ekstremis mestilah ditentang dengan kaedah kesederhanaan.

“Kami rakyat Malaysia bersatu teguh bersama rakyat Perancis,” katanya melalui status terkini laman Facebook peribadinya semalam.

Dalam kejadian tersebut, 12 orang terbunuh apabila lelaki bersenjata melancarkan serangan terhadap pejabat akhbar yang terkenal kerana anti-Islamnya di ibu negara Perancis itu.

Antara yang terbunuh ialah empat pelukis kartun terkenal Perancis yang selalu menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW), termasuk ketua pengarangnya Stephane Charbonnier.

Tiga lelaki bertopeng dengan bersenjatakan raifal Kalashnikov menyerbu ibu pejabat Charlie Hebdo, melepaskan tembakan ke arah kakitangan selepas mencari wartawan dengan memanggil nama mereka.

Saksi berkata, suspek didengar menjerit ‘Balas dendam untuk Rasulullah’ dan ‘Allahu Akbar’ sambil mereka menyerbu bangunan itu.

Rakaman menunjukkan seorang anggota polis cedera tersembam di kaki lima di luar pejabat berkenaan ketika dua daripada lelaki bersenjata itu mendekatinya dan melarikan diri dengan kereta yang dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 7:48 AM