Mexico City: Pemain Amerika Syarikat (AS), Christina Kim yang memburu gelaran LPGA pertama sejak 2005, mencatat tujuh bawah par 65 sekali gus muncul pendahulu hari pertama Kejohanan Jemputan Lorena Ochoa dengan kelebihan satu pukulan.

Pemain berusia 30 tahun itu mengatasi bintang Sepanyol, Azahara Munoz manakala remaja sensasi New Zealand, Lydia Ko menduduki tangga ketiga, 68 pukulan.

Catatan tanpa sebarang bogey di hari pertama menyaksikan Christina membenam satu eagle di lubang ke-17 dan ia pendahuluan pertamanya sejak 2008.

Sepanjang tahun ini, Christina hanya berjaya menamatkan kedudukan dalam kalangan 10 terbaik sebanyak dua kali termasuk muncul naib juara Kejohanan Klasik ShopRite LPGA.

“Saya perlu mengekalkan rentak sebegini. Biasanya, saya cemerlang pada hari Ahad,” katanya.

“Justeru, sebelum memulakan aksi, kedi saya, TJ berkata: ‘anggap saja hari ini hari Ahad. Nikmati setiap pukulan dan ia pasti seronok.”

Christina pernah memenangi dua gelaran LPGA, Cabaran Longs Drugs 2004 dan Kejohanan Juara 2005. Dia pernah menjuarai acara Jelajah Wanita Eropah, Terbuka Wanita Sicily pada 2011.

Sementara itu, catatan bogey di lubang terakhir menutup peluang Munoz untuk berkongsi kedudukan teratas.

Pemain Sepanyol itu memulakan permainan dengan birdie di lubang pertama dan ketiga sebelum mencatat bogey di lubang keempat, tetapi menutup saingan sembilan lubang pertama dengan birdie. Dia membenam tiga birdie sepanjang lima lubang di sembilan kedua bermula pada lubang ke-12 dan eagle pada lubang ke-17.

“Saya bermain baik,” kata Munoz. “Pukulan putt saya menjadi walaupun ada kalanya berisiko mencatat lebih pukulan. Justeru, ia sesuatu yang sangat saya sukai.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:05 AM