Edison, Amerika Syarikat: Juara PGA Jason Day dan Bae Sang-Moon membenam birdie kelmarin, sekali gus mencatat tujuh di bawah par 63 dan berkongsi kedudukan selaku pendahulu selepas 54 lubang di Barclays.

Pemain Australia Day, yang menjulang gelaran utamanya di Whistling Straits dua minggu lalu, mengumpul enam birdie dan satu eagle serta satu bogey untuk berkongsi pendahuluan dengan Sang-Moon dengan 11 di bawah par 199 di Kelab Golf dan Country Plainfield.

Sang-Moon yang membenam birdie pada empat dari tujuh lubang pertamanya, menamatkan saingan dengan sembilan birdie dan dua bogey. Kedua-dua pemain itu mengatasi juara Masters dua kali, Bubba Watson dengan kelebihan satu pukulan.

Watson yang muncul pendahulu hari kedua, merakam tiga di bawah par 67 untuk keseluruhan 200 pukulan, sekali gus menjadi pemain tunggal di tangga ketiga, satu pukulan mengatasi juara Terbuka British Zach Johnson (67), Henrik Stenson (67) dan Ryan Palmer (65).

Day berkata, catatan baik Sang-Moon di awal permainan turut melonjakkan semangatnya untuk mencatat keputusan positif.

“Ia hari yang hebat buat kami,” katanya. “Melihat Sang-Moon bermula dengan baik, saya turut mendapat semangat untuk mengejarnya dan kami saling mempamer pukulan cemerlang.

Day berkata, dia sedar bahawa catatannya pasti menarik selepas pemain Mexico Carlos Ortiz menamatkan saingan dengan lapan di bawah par 62 manakala pemain England Justin Rose melakar 63 pukulan.

Pemain berusia 27 tahun itu yang bergelut dengan sakit belakang, membuat pukulan putt sejauh 17 kaki untuk eagle di lubang ke-16 tetapi tercicir satu pukulan apabila memperoleh bogey di lubang ke-17. Bagaimanapun, dia berjaya mencatat satu lagi birdie di lubang terakhir.

“Masih ada 18 lubang lagi untuk dimainkan,” kata Day. “Ia pasti sukar esok (hari ini).

“Saya akan cuba menumpukan perhatian kerana jika anda puas hati dengan catatan sedia ada, anda tidak akan mampu mencatat keputusan lebih baik dan anda juga akan mula melakukan kesilapan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 7:46 AM