AFP

Los Angeles: Vaughn Taylor (gambar) menjulang kejayaan pertamanya di Kejohanan Pro-Am Jelajah PGA Pebble Beach selepas mencatat tujuh di bawah par 65 untuk mengatasi juara lima kejohanan utama Phil Mickelson dengan kelebihan satu pukulan.

Bagi Taylor, kemenangan itu menamatkan pemburuan sejak 2005 manakala Mickelson masih lagi tercari-cari gelaran Jelajah AS PGA pertamanya sejak Terbuka British 2012.

Mickelson membenam birdie di lubang 17 dan berpeluang mengheret perlawanan ke playoff jika mencatat satu lagi birdie di lubang 18 tetapi putt daripada jarak lima kaki yang dilakukannya gagal, sekali gus membolehkan Taylor meraikan kemenangan dengan catatan keseluruhan 17 di bawah par 270.

Mickelson kelihatan bakal menamatkan kemarau kejayaannya apabila mendahului dengan kelebihan dua pukulan sebelum melangkah ke pusingan terakhir kejohanan yang pernah dimenanginya empat kali itu.

Tetapi catatan 72 pukulan termasuk empat bogey dan dua birdie itu tidak cukup untuknya bergelar juara dan terpaksa berpuas hati selaku naib juara dengan 271 pukulan keseluruhan.

“Saya agak kecewa kerana tidak dapat menyempurnakan peluang di lubang terakhir,” kata Mickelson. “Tapi saya akan pastikan ia tidak berlaku di masa depan.

“Aksi saya tidak begitu menjadi,” katanya. “Beberapa kesilapan ketika permainan pendek membuatkan saya kecewa kali ini.”

Pemain Sweden Jonas Blixt cuba mencabar kejuaraan apabila membenam eagle di lubang enam tetapi menamatkan saingan dengan 69 pukulan untuk mengumpul 272 pukulan.

Pemain Jepun Hiroshi Iwata yang berkongsi kedudukan selaku pendahulu selepas membenam birdie ketiganya di lubang 11, kecewa apabila mencatat bogey di lubang 16 dan 18 sekali gus menduduki tangga keempat dengan 273 pukulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:03 AM