BERGER berjaya merangkul kejuaraan Pebble Beach Pro-Am 2021. FOTO AFP
BERGER berjaya merangkul kejuaraan Pebble Beach Pro-Am 2021. FOTO AFP
AFP

San Francisco: Daniel Berger melakukan putt sejauh sembilan meter untuk mencatat eagle yang membantunya muncul juara Pebble Beach Pro-Am Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) dengan penuh dramatik.

Pemain AS berusia 27 tahun itu, berjaya melupakan double bogey pada lubang ke-18 semalam, apabila membenam eagle di lubang yang sama hari ini sekali gus mengetepikan Maverick McNealy dengan kelebihan dua pukulan.

"Saya rasa seperti membalas dendam ke atas lubang ke-18. Saya sedar ia akan berakhir dengan saingan sengit.

"Saya melangkah masuk dan memulakan pukulan dengan baik sebelum disudahkan dengan putt cemerlang," kata Berger.

Berger juga berjaya melakukan eagle hasil putt sejauh tujuh meter di lubang kedua dan membenam empat birdie serta satu bogey bagi mengumpul keseluruhan 18 di bawah par 270.

McNealy sudah menamatkan permainannya dengan 16 di bawah par, dengan membenam lima daripada lapan birdie pada sembilan lubang terakhir.

Dia menyaksikan Berger melakukan putt kemenangan untuk meraih kejuaraan Jelajah PGA keempat dari clubhouse.

Bekas pemain nombor satu dunia, Jordan Spieth memulakan hari terakhir dengan mendahului dua pukulan namun dia masih gagal menamatkan kemarau kejuaraan selepas kali terakhir muncul juara Terbuka British 2017.

Dia berkongsi kedudukan ketiga bersama Patrcik Cantlay dengan melakukan dua di bawah par 70 untuk masing-masing mengumpul 273 pukulan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 2:56 PM