Charlotte: Rory McIlroy mengesahkan gelaran selaku pemain golf terbaik dunia apabila menamatkan saingan Kejohanan Jelajah AS PGA Wells Fargo dengan bergaya.

Pemain nombor satu itu mencatat lima birdie untuk mengumpul tiga bawah par 69, catatan yang menyusul selepas mencatat rekod lapangan, 61 pukulan, Sabtu lalu sekali gus mengumpul 21 bawah par 267 keseluruhan, tujuh pukulan di depan Webb Simpson dan Patrick Rodgers.

Bintang berusia 26 tahun dari Ireland Utara itu mengatasi rekod kejohanan 72 lubang dicatat Anthony Kim pada 2008 yang menang dengan kelebihan lima pukulan.

Dia juga muncul individu pertama menang dua kali kejohanan itu selepas berbuat demikian pada 2010.

“Semuanya cukup menjadi buat saya ketika ini,” kata McIlroy yang akan berlepas untuk menyertai Kejohanan PGA Jelajah Eropah di Wentworth serta Terbuka Ireland di Royal County Down.

McIlroy melakar bogey di lubang kedua. Ketika dia mencatat satu lagi bogey di lubang ke-17, dia sudah memiliki kelebihan tujuh pukulan.

Dia membenam birdie di dua par lima sepanjang sembilan lubang pertama iaitu lubang kelima dan ketujuh selain birdie di lubang ke-12, 14 dan 16.

Di lubang ke-12, pukulannya dari jarak 132 ela, berhenti kira-kira dua kaki dari lubang sekali gus membenam birdie.

Dia mengumpul 21 bawah par apabila mencipta birdie di lubang ke-14 dan 16.

“Lapangan ini sesuai buat saya,” kata McIlroy yang melonjak ke tangga ketiga kedudukan Piala FedEx Jelajah AS PGA.

“Dengan permainan serta cara pukulan saya, lapangan ini memberi kelebihan dan ia terbukti menerusi catatan minggu ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 7:59 AM