Francais Assassin’s Creed sangat popular dan mempunyai ramai pengikut. HAZRIL MD NOR kagum dengan langkah Ubisoft memantapkan lagi keluaran kali ini.

Berpeluang mengawal protagonis misteri dan penuh teknik pembunuhan pastinya mencabar minda kita untuk jadi lebih kreatif. Difahamkan, francais Assassin’s Creed memperlihatkan sekumpulan ‘Assassin’ ditugaskan untuk menamatkan onar dicetuskan oleh golongan ‘Templar’. Untuk mengejar objektif utama itu, mereka berusaha membebaskan setiap wilayah di bandar raya yang ditugaskan.

Bagi menutup kelemahan dalam keluaran terdahulu, Syndicate dibangunkan dengan teliti sekali gus menghidupkan kembali francais ini dalam kalangan peminatnya. Bercerita mengenai fungsi baru dalam ‘game’ itu, ia membawa kepada beberapa perubahan lebih baik.

Dunia lebih kompleks

Bagi anda yang sudah lama mengikuti perkembangan francais ini, ia dikenali dengan konsep dunia terbuka digunakan secara meluas pada ketika ini. Namun, dunia fantasi bandar raya London berlatarkan era revolusi industri itu diselaraskan dengan sempurna sekali gus membawa kepada plot lebih ‘linear’.

Mengisahkan pemerintahan kuku besi di bandar raya London, antagonis Crawford Starrick adalah seorang ‘Templar’ yang memberi arahan kepada sekumpulan geng menguasai jalan raya bandar berkenaan. Tugas anda adalah mengawal seorang daripada dua protagonis dalam kalangan ‘Assassin’ demi menumpaskan pemerintahan kejam itu.

Jacob dan Evie Frye

Buat julung kalinya, francais ini memperkenalkan pasangan kembar sebagai ‘Assassins’. Ini juga menandakan kemunculan pertama protagonis terdiri daripada wanita. Disebabkan jantina berbeza, Jacob dan Evie mempunyai kelebihan masing-masing.

Dikenali menerusi perwatakannya yang panas baran dan tidak sabar, Jacob lebih dikaitkan dengan kemahirannya dalam perlawanan jarak dekat.

Evie pula lebih konservatif, berpaksikan pada teknik ‘stealth’ sekali gus mencerminkan personalitinya yang misteri dan pintar.

Kedua-dua protagonis ini mengumpulkan sekutu kuat daripada kesatuan ‘Assassin’ seperti Henry Green dan beberapa tokoh terkenal pada zaman ini. Watak sokongan ini menambah seri dalam permainan kerana dialog dan personaliti kompleks diperlihatkan.

Anda juga boleh menukar protagonis dengan mudah dan fungsi ini mampu menjadikan gaya permainan lebih seimbang dan kompleks.

Menggunakan senjata utama seperti pistol ‘Revolver’, ‘brass knuckles’, pedang ‘cane’ dan pisau Kukri, pertempuran dalam Syndicate ternyata lebih pantas.

Difahamkan, pihak musuh juga akan menyerang dalam bentuk kumpulan seterusnya memaksa anda merancang strategi dengan teliti.

Misi dipertingkatkan

Dalam keluaran ini, tugas anda adalah menyelesaikan misi utama lebih panjang ataupun lakukan misi sampingan membebaskan setiap wilayah daripada cengkaman ‘Templar’.

Difahamkan, misi membabitkan pembunuhan secara senyap adalah kunci utama membuatkan Syndicate menyinar. Lokasi seperti bank dan Menara London menyediakan pelbagai pilihan kepada anda untuk menjatuhkan lawan. Jika anda ingin berlari dan merempuh musuh, ia dibolehkan namun perbuatan itu menggambarkan diri anda kurang kreatif.

Bagi pemain yang ingin memanfaatkan ciri utama ‘Assassin’, anda perlu bermain dengan berhati-hati, menyelinap masuk serta mencari pintu masuk tersorok dan seterusnya menumpaskan pengawal untuk penyamaran. Terdapat banyak lagi teknik pembunuhan boleh dilaksanakan jika anda lebih kreatif.

Kedua-dua misi utama dan aktiviti di dunia terbuka diselaraskan dengan sempurna. Dalam Syndicate, jalan raya lebih bersih dan terdapat banyak laluan terus ke kawasan tertentu. Kawalan juga dipermudahkan untuk membezakan sama ada anda ingin melompat ke bangunan lain atau terjun ke atas jalan raya.

Menariknya, setiap ‘Assassin’ juga dihadirkan bersama ‘grappling hook’ yang memudahkan perjalanan anda di atas bumbung tanpa perlu menjejak tanah. Walaupun mekanisme ini boleh didapati dalam ‘game’ lain, ia adalah penambahbaikan menarik dalam permainan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 8:12 AM