LEON S. Kennedy.
LEON S. Kennedy.
CHRIS Redfield.
CHRIS Redfield.
EZIO.
EZIO.
MAX Payne.
MAX Payne.
DELSIN Rowe.
DELSIN Rowe.

Rasanya terlalu banyak permainan video memaparkan protagonis yang berkuasa. Namun, HAZRIL MD NOR akui bukan semua ‘game’ menekankan aspek personaliti dan perwatakan yang menjadikan karakter itu kompleks.

Apabila membicarakan topik ‘hero’ dalam permainan video, kita akan membayangkan karakter popular yang menggenggam watak protagonis. Begitupun, protagonis yang diperkenalkan dalam permainan video selalunya mempunyai objektif dan matlamat yang besar, iaitu mengakhiri pemerintahan yang zalim ataupun menghapuskan kejahatan.

Walaupun mereka mempunyai matlamat yang tetap, bukan semua ‘hero’ mempunyai penampilan yang mencerminkan kebaikan. Malahan, ada yang dilihat begitu misteri sehingga disangkakan musuh. Namun, jika dinilai keseluruhannya, sedikit saja protagonis yang dilengkapkan dengan perwatakan yang realistik.

Leon S. Kennedy

Sebut saja namanya, ramai yang tahu dia adalah watak utama dan terpenting dalam francais Resident Evil. Daripada kerjaya sebagai polis bantuan hinggalah kepada ejen servis rahsia, tidak ramai yang mampu bertahan mengharungi cabaran seperti Leon harungi dalam Resident Evil 2, RE4 dan RE6.

Cabaran getir Leon berdepan dengan ratusan mayat hidup di Sepanyol dan China diharungi dengan kebijaksanaan menggunakan senjata api dan skil perlawanan jarak dekat. Malah, dia juga ditugaskan satu misi penting iaitu menyelamatkan anak presiden seperti yang dialami dalam Resident Evil keluaran keempat.

Selain memastikan gaya rambutnya yang ‘stail’ dan kemas, Leon sentiasa kelihatan tenang dan tidak gentar apabila berada dalam situasi genting. Disebabkan itu, popularitinya sebagai protagonis dikenang oleh peminat tegar yang mengikuti siri ini.

Chris Redfield

Berbeza dengan Leon, Chris lebih agresif dan tabah mengharungi apa saja cabaran yang hadir. Begitupun, dia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan kerana terlalu menurut ego hingga ahli pasukannya sendiri terkorban seperti yang dipaparkan dalam RE 5.

Mempunyai susuk tubuh yang sasa dan tegap, Chris dilabel sebagai karakter paling menarik oleh peminat francais berkenaan. Keupayaannya sebagai ketua kumpulan turut dinilai positif kerana ketegasan dan kebijaksanaannya mengatur strategi.

Membuat kemunculan dalam pelbagai siri RE bersama Jill Valentine, mereka berdua diiktiraf sebagai pasangan yang berpengaruh dalam industri permainan video. Gandingan mereka dikatakan mantap dan mereka juga saling menolong dalam misi yang ditugaskan selain dipuja peminat yang menyukai hubungan romantis antara kedua-dua karakter ini.

Ezio

Berbahaya bukan bermaksud jahat dan kejam. Ezio antara protagonis yang dilengkapi kemahiran sebagai ‘assasin’ tersohor di bandar raya Florence. Cabaran yang dihadapinya sebelum bergelar pembunuh upahan antara faktor yang membentuk dirinya menjadi karakter yang digeruni sepanjang zaman.

Walaupun Ezio dilengkapi dengan pelbagai senjata berbahaya, dia bukanlah seorang yang mudah mengambil nyawa seseorang. Penampilannya yang penuh misteri sebenarnya mencerminkan hati budi yang murni. Ini dibuktikan dalam francais Assasin’s Creed apabila Ezio berusaha menyelamatkan orang awam yang tidak bersalah daripada cengkaman penjahat.

Max Payne

Pembunuhan kejam yang berlaku kepada ahli keluarga menyebabkan seseorang itu berdendam kepada pelaku. Itulah yang berlaku dalam siri permainan Max Payne. Disebabkan tragedi yang menimpa insan tersayang, Max Payne mengalami transformasi daripada seorang anggota polis yang baik kepada pemberontak yang dihantui dendam kesumat.

Sepanjang permainan, Max Payne dilihat menjatuhkan kerajaan korup dan pemerintahan zalim. Walaupun ‘dianugerah’ nasib malang yang berterusan, Max Payne adalah seorang yang ‘survival’ dan sentiasa berusaha mengekalkan kewarasan sebagai individu yang hanya berniat untuk mengembalikan keamanan.

Delsin Rowe

Permainan video yang mengetengahkan konsep kuasa istimewa kebiasaannya menampilkan protagonis yang lebih ceria dan tidak terlalu serius. Delsin yang memegang watak utama dalam Infamous: Second Son mempunyai personaliti unik, lain daripada yang lain. Dia bukan saja muda malah mempunyai perwatakan yang ceria.

Kadangkala, wataknya yang dilihat tidak matang bagaimanapun menyembunyikan ciri yang positif. Contohnya, Delsin seorang yang bertanggungjawab dan ikhlas menolong insan yang tersayang. Selain itu, pengeluar turut menekankan konsep perasaan yang realistik apabila protagonis mengalami tekanan perasaan terutama apabila kematian abangnya, Reggie.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 8:51 AM