ASSASSIN’S Creed IV.
ASSASSIN’S Creed IV.
RESIDENT Evil 4.
RESIDENT Evil 4.
GRAND Theft Auto (GTA).
GRAND Theft Auto (GTA).

Tak dinafikan, permainan video memang seronok dan berikan kepuasan. HAZRIL MD NOR percaya ramai antara kita pernah mengalami masalah teknikal atau ‘glitch’ lantas menyebabkan sesi permainan terganggu.

Sebut saja mengenai permainan video semua pemain pernah mengalami detik lucu apabila terdapat kesilapan teknikal mengganggu sesi permainan. Gelak ketawa malah kata-kata kesat mungkin dikeluarkan apabila berdepan situasi ini.

Mana tidaknya, pihak musuh yang membuat serangan tersembunyi di sebalik dinding pastinya menyakitkan hati sesiapa saja kerana dianggap tidak adil ataupun bayangkan saja karakter anda berupaya menembusi jalan raya dan kemudian terjumpa dunia lautan di bawahnya, sangat tidak logik.

Gangguan sebegini atau lebih popular dengan istilah ‘glitch’ bermaksud kesilapan teknikal dalam perisian yang mampu menyebabkan kerosakan serius pada kod dan biasanya tidak diketahui ataupun diperbaiki semasa perisian itu sedang dikemaskinikan.

Kebiasaannya, ‘game’ yang baru dikeluarkan akan mengandungi ‘glitch’ dan tidak bebas daripada kerosakan seumpama ini. Malah, beberapa pengeluar sengaja membuat ‘kerosakan’ ini dalam usaha menghadirkan suasana lucu semasa dalam permainan.

Tidak semua kesilapan pada kod bertujuan memberikan kelebihan pada ‘hacker’ kerana terdapat juga ‘glitch’ yang tidak disengajakan dan menyebabkan perubahan pada suasana permainan itu sendiri seperti di bawah.

Kerosakan tekstur dan model

Kebiasaannya, gangguan teknikal dalam perisian seumpama ini kerap kali berlaku dan kadangkala ia menimbulkan suasana lucu.

Sebagaimana yang berlaku pada kebanyakan karakter dan watak dalam permainan video, tekstur mereka mengalami ‘kecacatan’ malahan saiz ataupun warna di anggota badan mereka bertukar menjadi bentuk haiwan dan lain-lain.

Kerosakan fizik

Masalah teknikal dalam video ‘game’ yang berkaitan dengan fizik biasanya lebih terarah kepada objek ataupun Non Player Character (NPC). Jika berlaku kesalahan dalam kod, objek itu akan bergerak ke arah lain tanpa diduga.

Sebagai contoh, NPC yang menjual item biasanya berdiri tegak namun dia akan bergerak beberapa langkah disebabkan ‘glitch’ yang berlaku dalam sistem. Malahan, permainan video yang menggunakan konsep ‘ragdoll’ turut mengalami masalah ini di mana karakter lawan akan melayang jauh dari sepatutnya apabila ditembak atau ditumpaskan.

Kerosakan bunyi

Gangguan dalam sistem bukan saja terhad pada objek tapi juga sistem bunyi. Bunyi dalam permainan biasanya mempunyai masa tertentu untuk dimainkan namun sekiranya berlaku masalah teknikal, muzik akan kedengaran pada waktu yang berlainan ataupun tidak dimainkan langsung.

Begitupun, terdapat juga ‘pitch’ bunyi terlalu tinggi dan ‘pitch’ terlalu rendah ataupun bunyian terus dimatikan. Sedikit sebanyak hal ini boleh mengganggu suasana permainan anda.

‘Glitch’ dalam judul ‘game’ popular

- Assassin’s Creed terkenal dengan kesilapan teknikalnya dari keluaran pertama hinggalah kelima. Jika anda berada di atas kapal Jackdraw dalam Assassin’s Creed IV, anda akan menyaksikan ruang vakum yang mengandungi serpihan kapal pecah.

Peliknya, walaupun kapal itu tenggelam, krew kapal masih tersekat dalam ruang vakum itu lantas meninggalkan seribu satu persoalan.

- Di kemuncak plot Resident Evil 4, pilihan muktamad untuk keluar dari fasiliti mayat hidup itu adalah dengan menggunakan jetski.

Begitupun, jika anda mengakses ‘inventory’ sebelum beredar bersama Ashley, ‘glitch’ akan berlaku di mana Leon kelihatan sedang memecut laju kenderaan itu dan meninggalkan Ashley serta jetski di belakang.

- Grand Theft Auto (GTA) keluaran kelima sememangnya popular dengan cirinya yang membolehkan karakter anda menikmati hobi lain selain merosakkan harta benda awam.

Saat anda sedang bermain golf dan tidak sengaja menyerang pemain golf yang lain, karakter anda akan lumpuh dan ‘dibekukan’. Kemudiannya, anda hanya menunggu kematian dengan ditembak atau ditangkap polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 10:44 AM