HAFIZ bersama wakil Indigital Sdn Bhd, Mask Team dan Istana Budaya.
HAFIZ bersama wakil Indigital Sdn Bhd, Mask Team dan Istana Budaya.
Oleh Ramlah Zainal


Siapa yang dapat menidakkan populari­ti penyanyi nasyid terkenal Hafiz Hamidun di persada hiburan ketika ini? Bukan saja jaguh di medium sosial dengan memiliki seramai 2.2 juta pengikut di Facebook dan 280,000 di Instagram, Hafiz juga diiktiraf sebagai selebriti Islam paling berpengaruh menerusi keluaran baru majalah The Muslim 500 edisi 2016, baru-baru ini.

Selain Hafiz, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza turut menerima penghargaan sama menerusi The World’s 500 Most Influential Muslims bagi kategori Kesenian dan Kebudayaan yang juga pengiktirafan di peringkat antarabangsa .

Bersandarkan bakat besar dan populariti yang dimiliki, tidak hairanlah Hafiz terpilih untuk beraksi di pentas hiburan berprestij, Istana Budaya (IB) menerusi Malam Kalimah Cinta sempena sambutan Maulidur Rasul bermula 24 hingga 25 Disember nanti.

Jejaka berusia 31 tahun itu mengakui persembahan eksklusif di IB adalah antara impian dalam karier muziknya selama ini.

Kali terakhir dia me­ngadakan persembahan ialah Konsert Zikir Terapi Diri di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak yang berjaya menarik seramai 2,000 penonton.

“Saya bersyukur kerana impian mengadakan konsert solo di pentas IB dapat direalisasikan. Saya akan menyampaikan 20 lagu pada malam membabitkan zikir dan selawat daripada album terdahulu termasuk Zikir Terapi Diri.

“Saya akan bekerja keras untuk menampilkan konsert solo terbaik dan persembahan bertaraf antarabangsa khusus buat peminat,” katanya.

Lebih bermakna, kata Hafiz, persembahan eksklusif itu mengimbau sejarah perjuangan Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar islam.

“Saya berharap peminat tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan ini kerana ia turut membabitkan sisi muzikal unik menerusi gabungan nyanyian, zikir dan selawat diiringi persembahan penuh multimedia serta efek khas berdurasi 120 minit.

“Persembahan saya akan diiringi kumpulan pemuzik handalan di bawah pimpian Lok U,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman konsert Malam Kalimah Cinta yang berlangsung di Platinum Sentral di sini, kelmarin.

Konsert ini anjuran Mask Team dan Indigital Sdn Bhd. Hadir sama, Penerbit Malam Kalimah Cinta, Mohd Amer Syafiq Khalip dan penerbit bersama, Mohd Pauzi Abd Samad.

Selain konsert, Hafiz juga sibuk dengan proses pembikinan album terbaru berbentuk selawat di Mesir dan Turki, sejak awal tahun ini.

“Saya sangat mementingkan kualiti album dan sangup berhabis untuk memberikan sentuhan terbaik terbitan syarikat sendiri, AArteffects International.

“Bukan tidak percaya dengan kebolehan orang kita sebaliknya saya ingin mendapatkan kualiti muzik yang bagus dan mencari kelainan. Ia selaras dengan impian saya untuk menempa nama di peringkat antarabangsa. Seperti yang kita tahu, per­kembangan muzik di Asia Barat sudah jauh ke depan dan ini usaha untuk menembusi pasaran Asia Barat.

“Sejak nilai mata wang negara semakin menurun, kos pembikinan album di Mesir dan Turki juga mening­kat. Kos keseluruhan pembikinan album ini mencecah RM500,000,” katanya.

Masih menyanyi di pusat beli-belah

Bergelar selebriti berpengaruh bukan bermakna Hafiz sudah mula ‘demand’ dan berkira dengan penganjur persembahan. Dia masih sama seperti dulu, cuma misi saja berbeza iaitu tidak hanya sekadar menyanyikan lagu nasyid, malah berdakwah menerusi seni dan muzik.

“Terus terang, saya bermula dari bawah dan pernah hidup susah sebelum ini. Justeru, saya tidak pernah lupa di mana diri saya sebelum ini. Saya juga tidak anggap diri sudah popular apatah lagi meletakkan harga tinggi. Malah, saya pernah menyanyi di hadapan 20 penonton sebelum ini.

“Saya tidak terbuai dengan populariti dan pengaruh yang dikecapi hari ini sebaliknya masih menyanyi di tepi jalan dan pusat beli-belah. Sebagai penyanyi nasyid, saya ingin berdakwah dan menyampai mesej yang berguna kepada peminat.

“Sekurang-kurangnya, apabila saya sudah tiada nanti orang tetap akan ingat segala kebaikan dan dakwah yang disampaikan kepada mereka,” katanya.

Hafiz turut menjelaskan dia tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan sejak tiga tahun lalu.

“Alhamdulillah, jadual saya padat dengan undangan persembahan hampir saban minggu,” katanya.

Selain Hafiz, penyanyi Indonesia, Opick juga akan menjayakan konsert Malam Kalimah Cinta yang akan berlangsung pada 23 Disember ini.

Opick bakal diiringi kumpulan pemuzik profesional yang dibawa khas dari Indonesia.

Malam Kalimah Cinta menawarkan harga tiket RM85, RM105, RM155, RM185, RM205 dan RM255 memuatkan bilangan 1,300 tempat duduk pada setiap malam.

Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang airasiaredtix atau di kaunter Box Office, Istana Budaya mulai 30 Oktober 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:49 AM