JUHARI (barisan kedua lima dari kiri) dan Hakime (barisan kedua enam dari kiri) bersama semua artis yang terbabit dengan Konsert 3 Kejora Bersatu.
JUHARI (barisan kedua lima dari kiri) dan Hakime (barisan kedua enam dari kiri) bersama semua artis yang terbabit dengan Konsert 3 Kejora Bersatu.
Ridzuan Abdul Rahman


Pentas berprestij Istana Budaya (IB) tidak pernah meminggirkan genre nasyid dalam pengisian programnya. Saban tahun IB akan tampil dengan konsert mendidik masyarakat misalnya Malam Kalimah Cinta menampilkan Hafiz Hamidun dan Opick yang berlangsung Disember lalu.

Terbaru, peminat bakal menyaksikan Konsert 3 Kejora Bersatu yang akan berlangsung pada 7 dan 8 Oktober depan jam 8.30 malam. Konsert itu menggabungkan tiga nama besar, Brothers, Hijjaz dan Rabbani anjuran Kay Event Management bersama IB ini dianjurkan sempena meraikan kedatangan tahun baru Islam iaitu Muharam 1348H.

Selaras tagline konsert ini ‘Qum...Fa Anzir’ atau ‘kebangkitan’, konsert ini juga menjadi permulaan positif buat muzik nasyid yang pernah menguasai persada muzik tanah air pada 1990-an.

Pengarah Urusan Kay Event Management, Hakime Faizal Zaulkapli berkata, perancangan menganjurkan konsert itu tercetus sejak Oktober lalu dan tujuannya untuk menghidupkan semula genre nasyid di mata peminat.

“Saya mencari-cari apa yang dimahukan peminat. Kebetulan saya memang berkawan rapat dengan artis nasyid sejak 20 tahun lalu. Terfikir juga untuk anjurkan satu konsert yang boleh mengembalikan kebangkitan nasyid di negara ini.

“Saya mencari-cari lokasi yang sesuai dan akhirnya bertemu dengan IB. Pertemuan dengan Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani hanya berlangsung pada 1 April lalu dan dia dengan mudah meluluskan permohonan saya,” katanya.

Hakime berkata, perancangan asalnya hanya untuk menganjurkan konsert solo Rabbani. Bagaimanapun selepas perbincangan, ia ditukar menjadi Konsert 3 Kejora Bersatu.

“Saya terfikir kenapa tak gabungkan kumpulan nasyid yang menjadi pelopor kebangkitan irama nasyid iaitu Brothers, Hijjaz dan Rabbani dalam konsert ini. Kumpulan Raihan juga tersenarai, tetapi kebetulan mereka sendiri terbabit dengan persembahan di luar negara pada tarikh sama.

“Peminat yang hadir dihidangkan dengan 22 lagu daripada tiga kumpulan ini. Turut tampil ialah kumpulan acapella Colour of Voices (CoV) sebagai artis undangan. Saya menjanjikan konsep persembahan yang menarik dan berbeza kepada peminat nanti.

“Mereka akan tampilkan persembahan secara unplug­ged, bergabung dan tribute buat Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani) dan Salleh Ramli (Hijjaz). Kos yang dikeluarkan untuk konsert ini mencecah RM1 juta.

“Sebelum ini, konsert pelbagai genre muzik lain pernah dibuat di IB. Apa salahnya, kali ini saya anjurkan konsert nasyid. Lagi pun industri nasyid agaka lama ‘diam’ sejak kematian Ustaz Asri dan kita perlu buat sesuatu untuk semarakkan semula lagu nasyid,” katanya.

Juhari pula berkata, pihaknya bersetuju menerima konsert itu kerana kebetulan slot di IB pada tarikh itu masih kosong.

“Ini kali pertama konsert menggabungkan kumpulan nasyid besar diadakan di IB. Nama-nama ini memang dikenali peminat kerana mencatat kejayaan tersendiri dalam genre nasyid.

“Apabila dapat saja ‘proposal’ dari Hakime, saya terus berikan persetujuan kerana konsert itu diadakan bagi menyambut Awal Muharram. Saya juga berhasrat nak ‘sejukkan’ IB dengan konsert begini,” katanya.

Mewakili tiga kumpulan ini, Isman Nadim Isam dari Hijjaz berkata, penganjuran konsert ini menjadi bukti genre nasyid juga layak ditampilkan di IB.

“Setiap penyanyi semestinya ada hasrat nak beraksi di IB, begitu juga kami. Ini adalah peluang terbaik untuk kami buktikan dengan melakukan yang terbaik. Selepas 20 tahun berlalu, kami bertanggungjawab menghidup dan mempertahankan genre nasyid agar kembali menyerlah seperti dulu.

“Kumpulan nasyid sebenarnya tidak mati dan semakin bertambah tetapi kurang dapat publisiti berbanding dulu,” katanya.

Tiket untuk menonton berharga RM50, RM70, RM100, RM200 dan RM250 boleh didapati di kaunter tiket Box- Office Istana Budaya atau menerusi www.airasiaredtix.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 12:56 PM