SERIUS dalam kerjaya seni diceburi sejak 13 tahun lalu untuk kekal relevan.
SERIUS dalam kerjaya seni diceburi sejak 13 tahun lalu untuk kekal relevan.
Oleh Ramlah Zainal


Barangkali namanya bersih daripada sebarang gosip mahupun kontroversi sepanjang pembabitannya lebih sedekad di persada hiburan tanah air.

Bagi penyanyi nasyid popular, Hafiz Hamidun, pembabitannya dalam bidang seni bukan untuk mengejar populariti sebaliknya sama-sama berjuang dalam memartabatkan bidang muzik yang sudah sebati dengannya sejak dulu.

“Terus terang, sejak saya mula berkarya pada 2002, saya ikhlaskan diri. Maklumlah, saya mula menyanyi pada usia 18 tahun dan kini sudah 13 tahun berkecimpung dalam bidang nya­nyian. Dalam tempoh itu, sudah pelbagai pahit getir dilalui sekali gus setiap pengalaman itu cukup mematangkan saya sebagai anak seni,” katanya.

Sebagai penyanyi yang berwawasan, Hafiz mengakui dia juga serius ketika berkarya.

“Saya berkarya bukan untuk mengejar nama tetapi saya perlu kekal relevan dengan kehendak pasaran dan keadaan industri muzik sekarang. Justeru, saya tidak ada ruang untuk mencetuskan kontroversi sebaliknya perlu istiqamah ketika bekerja,” katanya.

Apapun, kata Hafiz, dia bersyukur dengan pencapaiannya dalam bidang muzik hari ini.

“Saya juga memiliki kakitangan yang dedikasi melalui dua syarikat, Arteffects International dan Mikraj Concept. Walaupun bilangan kakitangan saya cuma 15 orang, mereka sa­ngat dedikasi dan bekerja keras dalam memastikan kerjaya saya terus berkembang.

“Selain itu, saya juga bekerjasama rapat dengan rakan pengedar, Sony Music dan Warner Music. Tanpa mereka, karya saya mungkin tidak akan dikenali dan sampai kepada masyarakat.

“Namun, saya masih belum puas dengan pencapaian sedia ada. Prinsip saya, apabila kita sudah selesa jangan lupakan zaman susah. Jadi, untuk rasa selesa kita perlu sentiasa bekerja keras,” katanya.

Mengulas berita dia akan berkahwin dengan model yang turut menjadi viral di laman sosial, Hafiz mengakui dia sudah bersedia untuk berumah tangga.

“Pada masa sama, saya sudah berjanji dengan keluarga akan menamatkan zaman bujang tahun depan. Kini, saya pula berasa serba salah. Bila saya berkawan dengan seseorang, banyak spekulasi timbul. Saya akan berkahwin dengan orang itu dan ini.

“Jika perkara itu benar terjadi, saya akan umumkan perkara ini secara rasmi nanti. Dengan siapa, belum tentu lagi selagi belum sampai hari­nya. Mohon doakan yang terbaik untuk saya,’ katanya.

Janjikan yang terbaik

Impian Hafiz untuk beraksi di pentas berprestij, Istana Budaya (IB) akhirnya kesampaian menerusi Konsert Malam Kalimah Cinta sempena sambutan Maulidur Rasul pada tanggal 24 hingga 25 Disember ini.

Selain aspek mental dan fizikal, kata Hafiz yang pernah menjayakan konsert Terapi Hati, persiapan untuk konsertnya sudah siap 80 peratus.

“Konsert ini sangat istimewa bukan saja lokasinya yang berprestij, saya juga bakal menggunakan elemen multimedia dan pentas secara maksimum. Selain menyampaikan 18 lagu, per­sembahan saya akan menampilkan Lah Ahmad sebagai artis undangan. Persembahan saya akan diiringi kumpulan pemuzik handalan di bawah pimpian Lok U.

“Saya juga berdoa semoga diberikan kesihatan yang baik pada hari berlangsungnya konsert itu. Macam-macam faktor keselamatan perlu saya jaga dari segi pemakanan, tidur yang cukup dan stamina.

“Saya juga berharap penonton akan dapat merasakan pengalaman yang berbeza tetapi akhirnya lebih mendekatkan cinta kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW,” katanya.

Selain Hafiz, penyanyi Indonesia, Opick juga akan menjayakan konsert anjuran Mask Team dan Indigital Sdn Bhd itu.

Malam Kalimah Cinta menawarkan harga tiket RM85, RM105, RM155, RM185, RM205 dan RM255 memuat­kan 1,300 tempat duduk pada setiap malam. Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang airasiaredtix atau di kaunter Box Office, Istana Budaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 12:44 PM